AM > BERITA

Pelajar Undang-undang Perlu Seimbang Teori, Amali Untuk Jadi Peguam Kompeten - Ketua Hakim Negara

09/12/2025 06:44 PM

SHAH ALAM, 9 Dis (Bernama) -- Pelajar fakulti undang-undang disaran menggabungkan pembelajaran teori di universiti dengan pengalaman praktikal melalui penyertaan dalam latihan industri bagi melahirkan siswazah yang lebih bersedia menghadapi realiti profesion guaman.

Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata secara asasnya sukatan pelajaran pengajian undang-undang di universiti sama ada di dalam atau luar negara menekankan aspek teori, manakala kemahiran amali hanya terbentuk atau dikuasai menerusi pendedahan di lapangan.

Beliau berkata dalam hal itu, pelajar undang-undang perlu memanfaatkan cuti semester dengan menyertai program latihan industri di firma guaman, jabatan kerajaan serta mahkamah, termasuk Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret sebagai platform awal memahami proses serta etika amalan perundangan.

“Sukatan pelajaran undang-undang di universiti, sama ada di Malaysia, England atau New Zealand, pada asasnya memberi tumpuan kepada aspek teori, manakala kemahiran praktikal hanya benar-benar dikuasai ketika menjalani latihan dalam kamar.

“Aspek seni berhujah dan advokasi ini tidak diajar sepenuhnya menerusi sukatan pelajaran  di universiti dan ia hanya boleh dipelajari menerusi pengalaman, pemerhatian dan pengajaran secara langsung di lapangan sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Hakim Negara bertajuk “Hakim Sebagai Pembina Negara: Menggabungkan Bakat, Ilmu dan Nilai Dalam Memartabatkan Keadilan” di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.

Program Syarahan Perdana Kehakiman 2025 anjuran Fakulti Undang-Undang UiTM dengan kerjasama Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan yang disertai 444 pelajar tahun akhir Fakulti Undang-Undang UiTM itu turut dihadiri Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, tiga Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azimah Omar dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Wan Ahmad Farid berkata tiada fakulti yang memiliki sukatan pelajaran sempurna untuk menyediakan peguam yang lengkap, namun gabungan penguasaan teori serta pengalaman praktikal mampu melahirkan pengamal undang-undang yang lebih kompeten dan berdaya saing.

Beliau turut menyentuh mengenai kecenderungan kebanyakan peguam muda ketika ini yang hanya hadir ke mahkamah untuk menguruskan kes mereka sebelum beredar tanpa memanfaatkan peluang berkenaan memerhati peguam berpengalaman berhujah bagi menambah ilmu.

“Pemerhatian secara langsung terhadap peguam berpengalaman ketika mengendalikan kes di mahkamah merupakan medium pembelajaran yang sangat berharga dalam memantapkan lagi teori yang dipelajari di universiti,” katanya.

Sementara itu, Shahrin menzahirkan penghargaan kepada badan kehakiman kerana terus menyokong pembangunan akademik dan profesional mahasiswa undang-undang UiTM, dan kehadiran Ketua Hakim Negara bersama barisan kepimpinan tertinggi badan kehakiman merupakan penghormatan besar kepada universiti itu.

“Syarahan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan institusi kehakiman, tetapi juga membentuk kefahaman mahasiswa mengenai integriti, kebijaksanaan dan amanah kehakiman dalam pembinaan negara bangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan