AM > BERITA

Sultan Selangor Zahir Penghargaan Kepada Rakyat Atas Ucapan Dan Doa Sempena Keputeraan Ke-80

10/12/2025 02:46 PM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan penghargaan kepada rakyat jelata atas ucapan dan doa bersempena dengan keputeraan baginda ke-80 tahun ini, dan menantikan sambutan tahun depan yang akan menandakan ulang tahun ke-25 pemerintahan baginda sebagai Sultan Selangor.

"Pencapaian ini bukan milik beta semata-mata, tetapi milik rakyat Selangor yang sentiasa bersama-sama beta melalui zaman kemajuan dan cabaran, serta yang telah berganding bahu membangunkan negeri yang kita cinta ini seperti yang dapat kita lihat hari ini. Untuk itu, beta menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan kesyukuran," titah baginda.

Mengimbas kembali tahun-tahun yang lepas, Sultan Sharafuddin bertitah baginda telah menyaksikan Selangor berkembang menjadi sebuah negeri yang dinamik, moden dan makmur – kediaman bagi rakyat berbilang kaum, agama dan latar belakang.

"Bagi beta, segala-galanya adalah tentang rakyat. Rakyat diutamakan. Selangor ialah rumah kita.

"Kepelbagaian ini ialah kekuatan kita, tetapi perlu sentiasa dipelihara oleh nilai-nilai hormat, kesederhanaan dan saling memahami.

"Beta ingin mengingatkan semua rakyat bahawa keharmonian dan perpaduan tidak berlaku secara kebetulan – nilai itu terhasil daripada kesabaran, toleransi dan keinginan yang ikhlas untuk hidup bersama-sama dengan aman," titah baginda dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini.

Sultan Sharafuddin bertitah, "Harapan beta untuk Selangor mudah sahaja – marilah kita menolak segala bentuk ekstremisme, ucapan kebencian dan perpecahan, sama ada dalam kehidupan seharian atau melalui media sosial. Sebaliknya, marilah kita memupuk ilmu, belas kasihan dan integriti sebagai prinsip panduan kita".

"Inilah hadiah ulang tahun terbaik buat beta bersempena dengan keputeraan beta ke-80. Sebagai sultan, harapan dan doa beta ialah Selangor terus makmur dengan keadilan, kesaksamaan dan tadbir urus yang baik," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah tahun ini juga amat bermakna kerana Istiadat Pernikahan dan Persandingan Diraja Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz berlangsung dengan lancar.

"Beta ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat Selangor atas ucapan dan doa yang indah kepada pasangan diraja ini," titah baginda.

-- BERNAMA

Datuk Seri Wong Chun Wai ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan