SHAH ALAM, 10 Dis (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengesahkan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) laluan Shah Alam tidak akan memulakan operasi tahun ini susulan keperluan menyelesaikan isu kestabilan sistem dan perisian yang masih dikesan dalam fasa pengujian dan pentauliahan (T&C).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan berkata pembukaan laluan hanya akan diumumkan selepas semua komponen teknikal termasuk sistem isyarat, perisian tren dan integrasi keseluruhan rangkaian disahkan berfungsi secara stabil mengikut piawaian Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Kami perlu mendahulukan keselamatan dan keandalan kerana jika pintu tidak terbuka dan penumpang terpaksa turun di stesen seterusnya, ia jelas mencacatkan pengalaman perjalanan.
“Sebaliknya, kami mahu sistem stabil, selamat dan boleh dipercayai sebelum dibuka kepada orang ramai,” katanya pada sidang media mengenai kemajuan Projek LRT3 Laluan Shah Alam di Stesen LRT3 Stadium Shah Alam, di sini hari ini.
Amir berkata projek LRT3 kini sedang melalui ujian tanpa gagal (FFR) yang diwajibkan untuk memastikan semua isu teknikal hanya dapat dikesan apabila tren melalui jarak ujian ribuan kilometer (km).
Beliau berkata masalah seperti pintu tidak terbuka, tren berhenti tidak tepat di platform serta gangguan pergerakan automatik biasanya tidak muncul pada jarak ujian 100 atau 200km tetapi hanya berlaku antara 2,000 hingga 4,000km.
"Jarak ujian panjang itu diperlukan untuk mengumpulkan data bagi membolehkan kontraktor mengeluarkan pembetulan perisian atau patch secara tepat.
"Setakat ini satu unit tren telah berjaya mencapai jarak 4,000km dan menjadi tren rujukan utama atau golden train, manakala tiga set tren lagi telah melengkapkan 3,000km," katanya.
Amir berkata sebanyak 18 set tren tambahan juga sedang menjalani ujian jarak jauh bagi memenuhi syarat minimum 2,500km sebelum menerima kelulusan operasi.
Selain itu, beliau berkata sebanyak 33 isu teknikal dikenal pasti sejak 26 Ogos lepas, dan kesemua isu tersebut telah diatasi melalui kemas kini perisian yang dibangunkan secara berperingkat oleh kontraktor.
"Setiap kemas kini masih memerlukan tempoh ujian untuk mengesahkan keberkesanannya agar gangguan tidak berulang selepas laluan mula beroperasi nanti.
"Siemens selaku pembekal sistem isyarat dan CRRC sebagai pembuat tren memberikan sokongan teknikal penuh termasuk bantuan pakar dari Jerman bagi mempercepat proses penyelesaian," katanya.
Dalam perkembangan sama, Amir memaklumkan pihaknya konsisten membentangkan laporan kemajuan projek terbabit kepada Menteri Pengangkutan satu atau dua kali seminggu, bergantung kepada perkembangan terkini.
Beliau berkata Prasarana menyasarkan semua ujian utama diselesaikan menjelang akhir Januari tahun depan, namun jadual sebenar hanya akan dimuktamadkan pada pertengahan Januari selepas tahap kestabilan sistem disahkan sepenuhnya.
Amir berkata kos projek LRT3 itu kekal seperti kontrak asal berikutan ia dilaksanakan di bawah kontrak kos tetap, sekali gus menafikan dakwaan berlaku peningkatan kos berikutan penangguhan yang berlaku.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial