AM > BERITA

Etiqa Family Takaful Salur RM135,500, Bantu 400 Pelajar SMK Sijangkang Jaya Terkesan Ribut, Banjir

10/12/2025 04:54 PM

KUALA LANGAT, 10 Dis (Bernama) -- Etiqa Family Takaful Berhad (EFTB) menyalurkan sumbangan berjumlah RM135,500 bagi membantu 400 pelajar daripada golongan B40 dan asnaf di Sekolah Menengah Kebangsaan Sijangkang Jaya (SMKSJ) di sini, yang terjejas akibat kejadian ribut serta banjir baru-baru ini.

Sumbangan melalui Program Back To School 2025, yang dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun, bertujuan menyediakan kelengkapan persekolahan merangkumi pakaian seragam, kasut dan peralatan menulis.

Ketua Pegawai Eksekutif EFTB Zafri Ab Halim berkata pihaknya berharap usaha itu memberikan keyakinan, keselesaan serta sokongan sewajarnya kepada pelajar untuk kembali meneruskan sesi pembelajaran.

Beliau berkata melalui program berkenaan, EFTB bukan sahaja membantu dari segi material, malah menjadi pemangkin kepada pelajar untuk kembali ke sekolah dengan semangat baharu.

“Pendidikan ialah asas kepada masa depan yang lebih baik. Apabila anak-anak hadir ke sekolah dengan pakaian yang kemas dan keyakinan yang tinggi, mereka akan lebih fokus dalam sesi pembelajaran. Selain itu, pendidikan juga merupakan pelaburan sosial yang penting dan EFTB berbangga menjadi sebahagian daripada usaha murni ini,” katanya pada Program Back To School 2025 di SMK Sijangkang Jaya, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Hawariyyun Al Ikhwan Rahmatullah dan Pengetua SMK Sijamgkang Jaya Mohd Rodzi Abd Rahman.

Sementara itu, Al Ikhwan berkata  bantuan yang disalurkan pada hari ini bukan sekadar menyediakan pakaian atau peralatan persekolahan, tetapi turut memulihkan semangat dan keyakinan pelajar untuk belajar dalam keadaan selesa serta bermotivasi. 

Beliau berkata kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO), pihak sekolah dan syarikat korporat mampu menggerakkan kerja kebajikan dengan lebih tersusun pada masa akan datang.

“Kami amat bersyukur dapat bekerjasama dengan EFTB dalam menjayakan Program Back To School 2025 ini, khususnya untuk membantu para pelajar yang terjejas akibat ribut dan banjir tempoh hari.

“Bagi kami di Hawariyyun, bantuan ini bukan sekadar menyediakan pakaian atau peralatan sekolah, tetapi lebih kepada memulihkan semangat, keyakinan dan maruah anak-anak ini untuk kembali belajar dalam keadaan yang selesa dan bermotivasi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan