KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Malaysia dan United Kingdom (UK) hari ini memperkukuh kerjasama dengan pelancaran fasa kedua Dana Kerjasama Malaysia-UK bagi Mempercepat Peralihan Iklim (UK PACT) 2.0, program iklim dwipihak terbesar UK di Malaysia yang memfokus kepada mempercepat kemajuan dalam pembiayaan hijau dan pasaran karbon.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang juga Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, berkata berlandaskan kejayaan fasa pertamanya pada 2020 hingga 2023, portfolio baharu itu akan menyediakan sokongan bersasar dalam bidang kritikal bagi peralihan iklim negara khususnya pembiayaan hijau dan pasaran karbon.
“Kerjasama kita dengan United Kingdom menunjukkan bagaimana kerjasama antarabangsa dapat memacu usaha negara.
"Dengan menggabungkan kepimpinan dasar Malaysia bersama kepakaran teknikal UK serta rangkaian global, kita mewujudkan platform untuk pembelajaran dan manfaat bersama selain kemajuan kolektif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian semasa pelancaran Program UK PACT 2.0 yang turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma.
Johari berkata antara tumpuan utama UK PACT 2.0 ialah memperkukuh keupayaan Malaysia untuk melaksanakan Skim Perdagangan Pelepasan Karbon Domestik, persiapan bagi pelancaran mekanisme Forest Carbon Offset (FCO) oleh Malaysian Forest Fund (MFF) serta menambah baik strategi pembiayaan hijau bagi merancakkan integrasi tenaga boleh baharu dalam grid tenaga.
Beliau berkata selama lebih tiga tahun, Malaysia dan UK telah menjalinkan kerjasama ke arah masa depan lebih hijau serta lestari dengan memperkukuh usaha sama dalam bidang yang menjadi teras tindakan iklim yang berkesan iaitu pembangunan rendah karbon, peralihan tenaga bersih, kewangan mampan, pembangunan kapasiti serta pertukaran ilmu, kepakaran dan inovasi.
“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan kita bahawa tiada negara mampu menangani krisis iklim secara bersendirian.
"Melalui kerjasama, kita boleh mempercepat pertumbuhan mampan, menyokong pembangunan industri hijau dan memastikan ekonomi kedua-dua negara kekal berdaya tahan dalam mendepani perubahan iklim,” katanya.
Sementara itu, Ajay dalam ucapannya berkata setiap projek dalam portfolio UK PACT akan membantu Malaysia mencapai hasratnya berkaitan perubahan iklim dan pertumbuhan jangka panjang yang mampan.
Beliau berkata program itu hanyalah satu daripada contoh bagaimana kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk melaksanakan perkongsian strategik seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia dan UK pada awal tahun ini.
"Ini adalah satu perkongsian yang akan meningkatkan kemakmuran dan keselamatan rakyat kedua-dua negara serta membantu melindungi planet bumi," katanya.
Dengan peruntukan sehingga £2.9 juta bagi tahun kewangan 2025/2026 dan 2026/2027, program itu bertujuan menetapkan visi serta hala tuju yang jelas untuk sektor swasta dan awam melalui pelan hala tuju strategik bagi pembiayaan hijau, merangsang pelaburan dalam penyelesaian penyimpanan tenaga dan infrastruktur grid, serta mengukuhkan mekanisme pasaran karbon dan kapasiti institusi bagi penggunaan alam semula jadi dan tanah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial