AM > BERITA

Kerajaan Teliti Semula Akta Orang-orang Papa 1977 Tangani Isu Gelandangan Di Ibu Negara

11/12/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti semula Akta Orang-Orang Papa 1977 (Akta 183), bagi mencari penyelesaian lebih tuntas terhadap isu gelandangan di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata proses semakan itu, sedang dilakukan agensi berkaitan termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Beliau berkata masalah gelandangan di Kuala Lumpur merupakan isu berterusan dengan gelandangan berulang serta kemunculan individu baharu, sekali gus menuntut pendekatan lebih menyeluruh antara agensi kerajaan.

“JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan KPWKM sedang melihat kepada akta yang digunakan, contohnya Akta Orang-Orang Papa dan saya difahamkan ia sedang diteliti lebih rapi, dekat mana sebenarnya dan siapa yang akan bertanggungjawab terhadap akta tersebut.

“Jadi dalam operasi menyelamat ini biasanya kita libatkan semua termasuk JKM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Akasia Jubilee di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata terdapat sehingga 400 gelandangan boleh ditemukan dalam satu-satu operasi yang melibatkan individu daripada pelbagai latar belakang termasuk pemohon suaka, mereka yang mengalami penyakit mental dan penagih dadah.

Beliau berkata Kuala Lumpur kini mempunyai tiga pusat penempatan sementara, termasuk di Taman Tunku, yang menyediakan tempat tidur serta makanan, selain membenarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyalurkan bantuan di lokasi terkawal bagi mengelakkan masalah kebersihan.

Dalam operasi penyelamatan sempena kepengerusian ASEAN baru-baru ini, sebahagian gelandangan ditempatkan di Gemenceh, Negeri Sembilan untuk mengikuti latihan dan ada yang berjaya menamatkan program serta memperoleh pekerjaan dengan kerjasama agensi berkaitan.

Mengulas mengenai isu banjir kilat di ibu kota, Dr Zaliha berkata Kuala Lumpur dijangka akan mengalami peningkatan kadar keamatan atau intensity hujan di beberapa lokasi sehingga 120 milimeter sejam (mm/j).

“Kadar biasa 80mm/j tetapi tempoh hari hujan jatuh hingga 116mm/j dan kita jangkakan mungkin selepas ini ada sehingga 120mm/j. Hal itu kemungkinan boleh menyebabkan banjir,” katanya.

Mengenai langkah jangka pendek dan panjang susulan banjir kilat baru-baru ini, Dr Zaliha berkata kerajaan telah melaksanakan persediaan awal termasuk mengenal pasti 15 kawasan mudah banjir di Kuala Lumpur.

“Mitigasi banjir contohnya kita telah kenal pasti di Kuala Lumpur ini. Ada 15 kawasan hotspot untuk banjir dan kita melakukan berapa tindakan, contohnya meletakkan siren alert siren jika paras air sampai ke tahap tertentu. Kita akan beri peringatan berjaga-jaga kepada penduduk untuk membuat tindakan yang seharusnya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan