AM > BERITA

Larangan Permainan Dalam Talian Termasuk Roblox, Tidak Selesai Isu Keselamatan Kanak-kanak -- Teo

11/12/2025 09:01 PM

KULAI, 11 Dis (Bernama) -- Tindakan melarang sesuatu permainan dalam talian termasuk aplikasi Roblox, dilihat tidak akan menyelesaikan isu keselamatan kanak-kanak.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching sebaliknya berkata isu berkenaan, berupaya dibendung sekiranya permainan dalam talian mempunyai ciri-ciri keselamatan untuk golongan tersebut.

Beliau berkata perkara itu merupakan antara yang dibincangkannya bersama Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Dr Farah Nini Dusuki, baru-baru ini.

“Tindakan larangan itu (hanya) melarang mereka (kanak-kanak) agar langsung tidak boleh main (permainan dalam talian), mungkin itu bukan cara yang paling bagus.

“Tetapi, bagaimana kita hendak pastikan bahawa platform itu selamat, adalah dengan memastikan bahawa ada ciri keselamatan,” katanya pada sidang media selepas melawat dan merasmikan tandas baharu di ruangan menunggu Hospital Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu keselamatan kanak-kanak melibatkan permainan dalam talian termasuk Roblox.

Justeru, Teo mengulangi komitmen kementeriannya yang akan terus membendung isu itu, menerusi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Beliau berkata usaha itu, bukan hanya perlu melibatkan penyedia plaftorm permainan dalam talian, tetapi juga aktivitis, badan bukan kerajaan dan pihak berkaitan.

Pada 27 Okt, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Batu Pahat, cedera parah dikelar abangnya yang berusia sembilan tahun, dipercayai akibat terpengaruh dengan permainan dalam talian Roblox. 

Terdahulu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai menyempurnakan penyerahan projek dengan kos RM90,000, bagi pembinaan dua unit tandas awam mesra orang kurang upaya kepada pihak HTSMTI.

Beliau berkata pejabat parlimennya telah menyalurkan pelbagai sumbangan dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM483,841 kepada hospital itu sejak 2019.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan