AM > BERITA

Tiga Idea Terbaik Menang Besar Di Pertandingan Akhir Inovasi Global "Go Healthy" Taiwan

11/12/2025 09:43 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis  (Bernama) -- Tiga inovasi terbaik dari Amerika Syarikat (AS), Ukraine, dan Switzerland meraih anugerah atas kreativiti dan potensi luar biasa serta impak terhadap kesihatan global pada pertandingan akhir Go Healthy with Taiwan Call for Proposal.

Mereka adalah antara enam pasukan cemerlang dari seluruh dunia yang berkumpul di Taipei, Taiwan bagi pertandingan akhir tersebut, dengan pembentangan cadangan bagi menangani pelbagai cabaran mendesak global daripada kesihatan ibu dan teknologi sukan hingga kepada sistem perubatan mampan.

Dalam kenyataan hari ini, Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) memaklumkan pertandingan tahun ini menerima 638 cadangan dari 55 negara, sekali gus mengukuhkan peranan Taiwan sebagai hab bagi inovasi kesihatan dan kerjasama rentas sempadan. 

Dari AS, cadangan yang menang bertajuk “Smart Sports Innovation”, memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) menganalisis pergerakan sukan besbol dengan menggabungkan pakaian pintar Taiwan, sensor dan perkomputeran pinggir untuk membangunkan platform biomekanik tanpa penanda yang bertujuan mencegah kecederaan dan meningkatkan prestasi.

Cadangan Ukraine bertajuk  “Resilient Wartime Healthcare Connectivity” pula mengintegrasikan suis dan Wi-Fi Taiwan ke dalam “First Lviv Territorial Medical Union” untuk mengekalkan rangkaian hospital tanpa gangguan semasa waktu perang, seterusnya menyokong teleperubatan dan ketahanan digital. 

Sementara itu, penyertaan Switzerland yang bertajuk “Solar-Powered Medical Wearables” merupakan kerjasama dengan pengeluar bahan dan peralatan Taiwan untuk membangunkan peranti pemantauan kesihatan berkuasa solar serta rantaian bekalan rentas negara.

“Setiap pasukan yang menang menerima trofi Taiwan Excellence 'Infinite Taiwan' dan hadiah pembiayaan bernilai USD30,000,” menurut kenyataan itu. 

Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa (MOEA) Susan Chi-Chuan Hu semasa majlis penyampaian anugerah menegaskan bahawa Go Healthy with Taiwan menghubungkan kreativiti global dan menyokong matlamat bersama untuk membina masa depan yang lebih sihat.

“Menurut beliau Taiwan akan terus melabur dalam inovasi dan memperkukuh ketahanan serta kemampanan dalam sektor kesihatan,” menurut kenyataan itu. 

Naib Presiden Eksekutif TAITRA Joe Chou juga menekankan mengenai peranan Taiwan sebagai penghubung yang menyatukan para inovator, industri dan pasaran global. 

Pertandingan akhir pada tahun ini diadakan dengan tema Outstanding Proposals! Racing Toward the Finish Line! , telah menghimpunkan pemimpin daripada kerajaan, industri dan ahli akademik, termasuk wakil daripada Persatuan Berbasikal Taiwan serta Persatuan Industri Perubatan dan Bioteknologi Taiwan, selain duta dan kenamaan asing. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan