KOTA BHARU, 11 Dis (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan memberi penekanan terhadap pengurusan bahan penyaman udara atau bahan penyejuk sebagai komponen penting dalam usaha mengawal pelepasan gas yang menjejaskan lapisan ozon.
Pengarah JAS Kelantan Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata sepanjang minggu operasi bermula 7 hingga 11 Dis, JAS turut menjalankan pemeriksaan terhadap bengkel berkaitan pengurusan bahan penyejuk yang tertakluk kepada peraturan pelepasan gas ozon.
Beliau berkata pemeriksaan itu penting bagi memastikan pengendalian bahan penyejuk dilakukan mengikut standard ditetapkan, sekali gus mengelak pelepasan tidak terkawal yang boleh menjejaskan kualiti udara.
“Setakat ini tiada pelanggaran ketara, namun arahan di lapangan diberikan bagi penambahbaikan aspek tertentu seperti melabel. Ia juga tidak melibatkan pengeluaran notis,” katanya pada Operasi Bersepadu OPS Gerak Kenderaan Motor Sempena Hari Ozon Sedunia 2025 di sini malam ini.
Mengulas operasi malam ini, Wan Aminordin berkata ia adalah hari terakhir OPS Gerak membabitkan kira-kira 50 anggota daripada empat agensi dengan tumpuan kepada pelepasan asap kenderaan dan bunyi bising motosikal.
“Sepanjang minggu ini, OPS Gerak Bersepadu memberi fokus kepada pelepasan asap kenderaan dan bunyi bising motosikal. Selain operasi kenderaan, JAS turut menjalankan persampelan petrol dan diesel di beberapa stesen minyak terpilih bagi menguji kandungan sulfur dan bahan lain mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Petrol dan Diesel) 2007,” katanya.
Wan Aminordin berkata pemeriksaan turut dilakukan terhadap fleet operator yang mengendalikan lebih 10 kenderaan bagi memastikan mereka mempunyai peralatan mencukupi untuk menguji pelepasan asap di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996.
Beliau berkata tahap pematuhan memang baik dan tiada pelanggaran ketara.
Sementara itu, Wan Aminordin berkata JAS turut bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am dalam memantau kilang yang tidak mematuhi syarat pengurusan bahan buangan elektronik.
“Di Kelantan, empat syarikat berlesen dikenal pasti untuk mengumpul dan melakukan peleraian sisa elektronik secara separa manakala bahan berharga dihantar keluar. Kebanyakan pusat kitar semula mematuhi keperluan lesen dan tidak dibenarkan menyimpan sisa elektronik tanpa kebenaran dengan tindakan boleh diambil di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial