AM > BERITA

Kepimpinan Sultan Selangor: Legasi Sifat Rendah Diri, Tadbir Urus Berteraskan Rakyat

12/12/2025 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Ciri-ciri kepimpinan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah ialah gabungan unik sifat rendah diri, ketegasan dan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap rakyat di negeri berkenaan, menurut Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Mengimbas kembali temu bual beliau dengan baginda pada 2011 bersempena dengan ulang tahun ke-10 pemerintahan baginda sebagai Sultan Selangor, Wong berkata Sultan Sharafuddin sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan sepanjang memerintah, yang menekankan kepentingan keharmonian dan perpaduan di Selangor.

 "Baginda sentiasa memimpin melalui teladan, mengutamakan keharmonian, empati, dan kesejahteraan rakyat. Baginda ialah seorang pemimpin yang benar-benar memahami keperluan rakyat dan pengaruhnya akan terus membentuk Selangor bagi tahun-tahun akan datang.

"Perkara yang paling menarik perhatian saya ialah ketekalan baginda. Sultan Sharafuddin kekal teguh pada prinsip selama 20 tahun yang lepas. Harapan baginda sentiasa ingin melihat rakyat hidup dalam harmoni dan menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik," katanya pada program Bernama TV, The Nation bertajuk Through The Eyes of a Journalist: Sultan Selangor, di sini.

Wong, yang mengenali Sultan Sharafuddin hampir dua dekad, menekankan sifat merendah diri baginda yang menolak istiadat dan kemegahan yang tidak perlu kerana baginda lebih gemarkan perkara yang ringkas dan sering meminta agar tiada formaliti atau karpet merah dihamparkan dalam acara awam.

Malah, Tokoh Wartawan Negara itu berkata Sultan Sharafuddin juga membaca sendiri surat dan e-emel yang dihantar oleh rakyat, amalan yang membezakan baginda dengan ramai pemimpin politik.

"Baginda meluangkan masa untuk membaca aduan daripada rakyat. Saya rasa wakil rakyat pun tidak berbuat demikian setiap hari," katanya sambil menekankan kesediaan dan penglibatan langsung baginda dengan isu yang menimpa masyarakat.

Wong berkata satu contoh yang menyentuh hati ialah sepucuk surat daripada wanita yang menghadapi kes perceraian berlarutan selama tujuh tahun, dan baginda yang tersentuh dengan rintihan itu telah campur tangan secara peribadi untuk mempercepat proses perundangan, menunjukkan empati mendalam dan komitmen akan keadilan.

"Baginda berkenan mengambil tindakan untuk memastikan kes itu diselesaikan," kata Wong.

Walaupun memiliki sifat tanggungjawab yang tinggi, Wong menyifatkan Sultan Sharafuddin sebagai pemimpin yang tidak melangkaui peranan baginda di bawah Perlembagaan.

"Baginda amat memahami tugas sebagai Sultan menurut Perlembagaan dan memahami batas kuasa. Baginda tidak pernah campur tangan dalam urusan pentadbiran harian kerajaan, tetapi menggunakan pengaruh baginda untuk menyuarakan isu penting apabila perlu," katanya.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Sharafuddin ke-80 dan hampir 25 tahun memerintah Selangor, Wong memuji sumbangan baginda, menyatakan bahawa legasi baginda ialah kepimpinan yang tidak mementingkan diri sendiri.

"Pada usia 80 tahun, baginda masih aktif dan terus mendekati rakyat. Pendekatan kepimpinan baginda yang mengutamakan rakyat dan menumpukan perpaduan, kekal sebagai teladan kepada semua pemimpin," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan