AM > BERITA

HTAA Bakal Guna Parkir Mekanikal Atasi Kekurangan Ruang Letak Kenderaan

12/12/2025 08:57 PM

KUANTAN, 12 Dis (Bernama) -- Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bakal menggunakan parkir mekanikal sebagai langkah mengatasi isu kekurangan tempat letak kenderaan di fasiliti kesihatan itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Razali Kassim berkata inisiatif itu adalah langkah sementara sebelum bangunan kekal yang dilengkapi kemudahan tersebut dibina. 

“Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dalam usaha mengadakan parkir mekanikal sebanyak 600 lot di ruang sedia ada dan perbincangan dengan pihak terlibat sedang diadakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kerusi menunggu di Jabatan Kecemasan HTAA hari ini. 

Sebelum ini, RM500,000 telah diperuntuk bagi kerja-kerja awal antaranya meliputi ukur tapak dan penyediaan cadangan reka bentuk projek pembinaan blok tambahan HTAA yang merangkumi klinik pakar, kecemasan serta kompleks parkir bertingkat.

Mengulas mengenai sumbangan hari ini, Razali berkata kerajaan negeri mengambil tanggungjawab penuh dengan menyediakan 36 set kerusi berangkai atau 108 tempat duduk bagi memastikan keselesaan pengguna di wad kecemasan HTAA. 

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama masyarakat supaya menjaga kemudahan yang disediakan demi kebaikan semua pihak.

Baru-baru ini, tular isu yang memaparkan orang awam duduk di atas lantai semasa menunggu di Jabatan Kecemasan HTAA. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan