KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat, untuk menilai situasi semasa dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selaku Pengerusi ASEAN, mesyuarat itu juga bagi mengukuhkan peranan kolektif ASEAN dalam memelihara keamanan serantau.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook selepas menghubungi rakan sejawat, Perdana Menteri Vietnam Phạm Minh Chính bagi membincangkan perkembangan semasa di rantau ini, serta usaha-usaha bersama untuk memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara.
“Dalam pada itu, saya turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan Vietnam dalam menangani isu penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU),” kata beliau.
Anwar berkata kerjasama itu termasuk penyelarasan penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan langkah pencegahan.
“Saya yakin bahawa melalui dialog berterusan dan mekanisme sedia ada, isu ini dapat diselesaikan secara berhemah, tenang dan saling menghormati,” kata Anwar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial