KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menafikan Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mempunyai kaitan dengan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai pada 26 Okt pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di sini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan MoU berkenaan bersifat tidak mengikat daripada segi perundangan yang dirundingkan sejak 2020, iaitu lima tahun lepas.
Beliau berkata instrumen kerjasama pertahanan yang ditandatangani oleh Kementerian Pertahanan dengan Jabatan Perang Amerika Syarikat (AS) pada 30 Okt 2025 di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus adalah MoU dan bukannya perjanjian seperti yang dinyatakan.
“Kandungan MoU Kerjasama Pertahanan ini tertumpu kepada aktiviti-aktiviti dua hala antara Malaysia dengan AS merangkumi pembangunan keupayaan dan kapasiti, latihan dan eksesais ketenteraan, sains, teknologi dan industri pertahanan, serta bidang-bidang lain yang dipersetujui bersama melalui Malaysia-US Strategic Talk (MUSST) yang telah dilaksanakan sejak 2008.
“Pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara-negara rakan adalah instrumen diplomasi pertahanan seperti yang digariskan dalam Tonggak Ketiga, Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dilancarkan pada 2019 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad memegang amanah sebagai Perdana Menteri ketujuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata selain AS, Malaysia turut menandatangani MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara-negara lain seperti China (2016), Jepun (2018), Lao PDR (2019), Indonesia (2022), Vietnam (2023) dan yang terkini Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 11 Dis lepas.
Beliau berkata pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan negara-negara itu termasuk AS adalah seiring dengan dasar luar Malaysia yang neutral dan berkecuali, serta mendokong komitmen negara kepada deklarasi Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) yang ditandatangani oleh Negara Anggota ASEAN pada 1971.
“Kementerian Pertahanan merakamkan penghargaan atas keprihatinan Dr Mahathir dalam perkara ini dan menegaskan bahawa pemeteraian MoU Kerjasama Pertahanan dengan AS adalah atas kepentingan negara dalam usaha memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat dan makmur,” katanya.
Khamis lepas, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan mengenai Perjanjian Kerjasama Pertahanan antara Malaysia dan AS dan mendakwa kerajaan tidak mendedahkan sepenuhnya kandungan perjanjian yang dibuat bersama AS, termasuk elemen berkaitan ketenteraan serta dasar luar negara kuasa besar itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial