KOTA KINABALU, 13 Dis (Bernama) -- Institusi kekeluargaan perlu segera diperkukuh sebagai asas kesejahteraan nasional ketika Malaysia bersiap sedia memasuki fasa negara tua menjelang 2048, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dr Wan Azizah berkata Malaysia diunjur menjadi negara tua apabila peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas mencecah 14 peratus daripada populasi negara, sekali gus menuntut tindakan awal dan kesedaran masyarakat untuk kesejahteraan rakyat.
“Perubahan ini menuntut tindakan dan perancangan segera untuk kita memastikan kesannya dapat ditangani dengan efektif, terutamanya kepada golongan rentan,” katanya merujuk kepada Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045.
Dr Wan Azizah berkata demikian ketika berucap pada Seminar Inspirasi Keluarga MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Hadir sama isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin dan isteri Ketua Menteri Datin Seri Juliah Salag.
Dr Wan Azizah berkata institusi kekeluargaan kini berdepan cabaran dunia digital yang melibatkan pelbagai bentuk kandungan tanpa tapisan yang menuntut peranan ibu bapa sebagai pelindung dan pembimbing terdekat anak.
Walaupun kerajaan boleh menggubal dasar tertentu, beliau berkata pemantauan paling efektif tetap bermula daripada keluarga sendiri.
“Zaman sekarang digital (dan) semua di hujung jari. Kita dapat macam-macam (daripada Internet) termasuk ada yang baik dan ada tidak baik. Bagaimana menapisnya?
“Terutamanya untuk generasi akan datang, generasi anak-anak kita. Kerajaan mungkin mengadakan satu polisi, tetapi siapa yang memantau (anak),” katanya.
Selain itu, Dr Wan Azizah turut menyatakan kebimbangan terhadap kebergantungan kepada gajet sebagai alat untuk menenangkan anak kecil ketika ibu bapa sibuk dengan pelbagai tugasan harian.
Beliau juga menekankan keperluan menghidupkan kembali nilai rahmah, mawaddah (kasih sayang) dan sakinah (ketenangan) sebagai jiwa rumah tangga, selain memupuk adab serta hikmah dalam interaksi harian.
Seminar itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta masyarakat setempat untuk berkongsi ilmu, pengalaman dan pendekatan membina keluarga harmoni dalam era moden.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial