AM > BERITA

Malaysia Komited Perkukuh Kerjasama Antarabangsa Maju Agenda Bandar Baharu, SDG

13/12/2025 03:46 PM

PUTRAJAYA, 13 Dis (Bernama) -- Malaysia komited memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam memajukan Agenda Bandar Baharu dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau yang juga Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) berkata peranan aktif Malaysia dalam usaha kelestarian global menuntut jalinan erat rakan antarabangsa bagi menangani cabaran bandar sejagat.

“Malaysia bersedia menyumbang secara aktif kepada penyelesaian cabaran bandar global sambil turut belajar daripada pengalaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sempena Majlis Muhibah Musim Perayaan yang berlangsung semalam.

Majlis itu turut mengetengahkan pencapaian Malaysia di pentas dunia apabila menerima Anugerah Khas Sifar Sisa Global oleh Yayasan Sifar Sisa di bawah naungan Wanita Pertama Turkiye Emine Erdogan, baru-baru ini.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan usaha negara dalam pengurusan sisa serta kelestarian. Malaysia komited memperluas kerjasama melalui perkongsian kepakaran, pengetahuan dan pengalaman bersama-sama rakan global,” katanya.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Nga berkata KPKT terus komited membangunkan komuniti yang inklusif, berdaya tahan dan mampan, di samping menyumbang secara aktif kepada agenda global seperti pembangunan bandar mampan, perumahan mampu milik dan inisiatif sifar sisa.

Selain itu, Nga berkata penganjuran majlis itu mencatat sejarah apabila KPKT menjadi tuan rumah kepada Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi di Malaysia buat kali pertama.

Ia sekali gus mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memupuk perpaduan, meraikan kepelbagaian serta memperkukuh kerjasama antarabangsa berlandaskan nilai kemanusiaan sejagat.

“Semangat sebenar musim perayaan bukan sekadar tentang kegembiraan dan sambutan, tetapi tentang hubungan yang kita bina. Di sebalik kepelbagaian dan perbezaan kepercayaan, kita semua disatukan oleh naluri kemanusiaan yang sama,” katanya.

Pada majlis itu, KPKT turut menyampaikan sumbangan perayaan kepada kanak-kanak di bawah Persatuan Ziarah Sahabat Kanser bagi menyemarakkan nilai ihsan dan manusiawi pada musim perayaan.

Majlis diakhiri dengan ucapan Selamat Tahun Baharu daripada Nga kepada seluruh barisan Duta Besar, Pesuruhjaya Tinggi serta rakan diplomatik dengan harapan terus menjalin kerjasama demi masa depan bandar lebih lestari, pintar dan berteraskan rakyat. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan