AM > BERITA

Dua Tahun Di KUSKOP, Ramanan Buka 'Lembaran Baharu' Untuk Usahawan Komuniti India

13/12/2025 05:02 PM

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Dua tahun berkhidmat di Kementerian Pembangunan Usahawan Koperasi (KUSKOP) sebagai Timbalan Menteri, Datuk Seri R. Ramanan melaksanakan reformasi berskala besar dengan peruntukan bersejarah melebihi RM471.5 juta, satu langkah yang membuka "lembaran baharu" dalam pemerkasaan sosioekonomi usahawan komuniti India.

Pendekatan drastik yang diterjemah melalui pelbagai inisiatif berimpak tinggi itu berjaya melahirkan dan memperkasakan lebih 20,000 usahawan India di seluruh negara, satu pencapaian yang disifatkan beliau sebagai langkah yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Ramanan, yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal ekonomi komuniti India, berkata fokus utama beliau sejak awal ialah mengangkat martabat ekonomi golongan berkenaan melalui asas yang kukuh.

"Sejak hari pertama masuk ke KUSKOP, saya mahu mengangkat kejayaan usahawan komuniti India. Pemerkasaan ekonomi komuniti India merupakan asas yang kukuh untuk menjayakan misi tersebut... justeru itulah kami telah mengusahakan pelbagai inisiatif baharu bagi menjamin harapan usahawan komuniti India.

"Segala inisiatif yang telah dilaksanakan setakat ini merupakah langkah drastik yang bersejarah... tidak pernah dilakukan sebelum ini... ia merangkumi aspek pembiayaan, latihan keusahawanan, geran padanan, sesi bertemu usahawan dan sebagainya... segala kisah kejayaan mereka merupakan fakta berasaskan realiti," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata tumpuan khusus diberikan kepada golongan usahawan kecil, wanita, belia serta komuniti India yang sekian lama memerlukan sokongan menyeluruh dan berkesan.

Beliau berkata antara program strategik utama termasuk SPUMI dan SPUMI Goes Big di bawah TEKUN Nasional yang membuka akses pembiayaan, latihan dan bimbingan perniagaan dengan dana RM100 juta, jumlah tertinggi diperuntuk sejak 2008, selain Program Pemerkasaan Usahawan Wanita India (PENN) dan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-I (BRIEF-i) masing-masing dengan peruntukan RM100 juta.

Ekosistem keusahawanan komuniti India turut diperkukuh dari peringkat mikro hingga perusahaan berdaya saing menerusi Vanigham dan Vanigham Plus di bawah SME Bank (RM50 juta), Geran Padanan I-BAP SME Corp (RM6 juta), SOORIAN oleh PERNAS (RM54.5 juta) serta Geran Pembangunan Bakti MADANI SKM (RM1 juta).

Pencapaian itu turut disokong oleh pelaksanaan program berstruktur seperti Vanakam MADANI dan Program Pemerkasaan Usahawan India (EIP), dan Ramanan menegaskan komitmennya untuk terus mendengar suara rakyat serta memastikan agenda ekonomi yang inklusif serta adil terus menjadi keutamaan selaras aspirasi Malaysia MADANI. 

Dalam pada itu, Pengerusi Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI)  Datuk Seri N. Gobalakrishnan menyifatkan kepimpinan Ramanan telah mencorakkan satu harapan baharu kepada usahawan komuniti berkenaan.

"MAICCI cukup teruja dengan komitmen beliau yang cukup kuat dan mendalam untuk membantu usahawan komuniti India… segala inisiatif yang telah dilancarkan dalam tempoh dua tahun ini telah mencetuskan banyak peluang baharu kepada usahawan Komuniti India... tahniah dan terima kasih kepada Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan," katanya.

Gobalakrishnan berkata pembangunan ekonomi sebenar bukan sekadar dinilai melalui angka dan statistik sebaliknya perubahan nyata dalam kehidupan rakyat seperti seorang ibu yang mampu menjana pendapatan sendiri, pelajar mendapat akses pendidikan berkualiti serta usahawan kecil membina perniagaan mampan.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) itu juga berkata Ramanan merupakan seorang pemimpin yang sentiasa menyantuni semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum sekali gus mencerminkan sifat kepimpinan nasional dan penyatu.

Impak reformasi ini turut diakui oleh pengusaha Sanwa Tours (M) Sdn Bhd Sathies Supramaniam yang kini mampu mengembangkan perniagaan menerusi pembiayaan di bawah inisiatif Vanigham SME Bank.

"Sejak dulu saya cuba mencari bantuan sokongan kerajaan khusus untuk pengusaha bas ekspres dan selepas Datuk Seri Ramanan umum pelbagai inisiatif seperti SPUMI Goes Big, BRIEF-i, I-BAP SME Corp dan Vanigham, saya telah cuba memohon inisiatif ini dan sekarang melalui pembiayaan ini, perniagaan saya telah mula berkembang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan