PADANG BESAR, 13 Dis (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) kini dalam proses memperincikan senarai negeri yang terjejas banjir di seluruh negara termasuk tahap kerosakan serta keutamaan kerja pemulihan infrastruktur berkaitan yang perlu disegerakan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata negeri terjejas banjir telah diminta mengemukakan laporan lengkap melibatkan kos kerugian dan kerosakan infrastruktur itu bagi membolehkan penilaian menyeluruh dibuat sebelum tindakan susulan dilaksanakan.
Beliau berkata kementerian itu akan menentukan keutamaan berdasarkan tahap kemusnahan serta keperluan mendesak pada peringkat komuniti di negeri-negeri terjejas dengan bencana itu.
“Antara fokus utama ketika ini ialah kerja-kerja kecemasan yang memberi kesan langsung kepada kehidupan masyarakat setempat khususnya melibatkan infrastruktur kritikal seperti jambatan dan sistem saliran,” katanya selepas merasmikan Program Cahaya Prihatin: Elektrik Untuk Komuniti di Kampung Utara, Padang Besar di sini hari ini.
Akmal Nasrullah ketika mengulas situasi di Perlis berkata kementerian itu melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengenal pasti beberapa kerosakan termasuk tiga jambatan di bawah seliaan jabatan itu, yang runtuh selain kerosakan pintu air dan kemudahan berkaitan.
“Anggaran awal kos kerosakan di Perlis adalah sekitar RM6 juta hingga RM8 juta dan perkara ini telah dibentangkan kepada saya dalam taklimat pagi tadi. Insya-Allah, kerja-kerja kecemasan yang dikenal pasti akan mula disegerakan seawal bulan depan melalui JPS Negeri Perlis,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial