AM > BERITA

Tiada Perancangan Naik Taraf FT2 Lebuhraya Persekutuan, Tidak Ekonomik - Nanta

15/12/2025 01:29 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menaik taraf FT2 Lebuhraya Persekutuan walaupun perkhidmatan trafik di laluan berkenaan berada pada tahap paling sesak berdasarkan bacaan lalu lintas 2024, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan itu dibuat kerana cadangan menaik taraf FT2 sepanjang 34.59 kilometer dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang tidak lagi ekonomik untuk dilaksanakan memandangkan ia melibatkan kos pengambilan balik tanah dan aset yang tinggi, selain berpotensi menimbulkan kesan sosial sekiranya dilaksanakan.

“Berdasarkan data bacaan lalu lintas 2024, tahap perkhidmatan jalan (LOS) di FT2 Lebuhraya Persekutuan menerusi Stesen Banci BR101 direkodkan pada ‘LOS F’, iaitu aliran trafik sesak, sama juga seperti FT28 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Stesen Banci BR903,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara pagi ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Tiew Way Keng yang ingin tahu status naik taraf lebuh raya dan jalan Persekutuan yang ada di Selangor.

Nanta berkata bagi FT2, kerajaan sedang meneliti cadangan pembinaan lebuh raya bagi menyuraikan aliran trafik serta menyediakan alternatif pengangkutan awam melalui perkhidmatan LRT3 dari Shah Alam ke Kuala Lumpur yang dijangka mula beroperasi pada 31 Dis ini.

Nanta ketika mengulas FT28 MRR2 sepanjang 37.58 kilometer, iaitu dari Kepong ke Sri Petaling berkata kementerian telah melaksanakan Projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bagi membantu mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan, namun menaik taraf FT28 juga tidak lagi ekonomik atas faktor kos dan implikasi sosial yang sama.

Sementara itu, beliau memaklumkan tahap perkhidmatan trafik di FT5 Jalan Klang-Sabak Bernam menerusi Stesen Banci BR104 berada pada LOS A, iaitu masih mampu menampung kapasiti trafik sedia ada, justeru kerajaan belum mempunyai sebarang perancangan untuk menaik taraf laluan berkenaan.

Nanta berkata Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026 berpotensi menjadi alternatif mengurangkan kesesakan trafik di FT5.

Beliau turut berkata sebarang cadangan pembinaan jalan baharu atau kerja menaik taraf jalan Persekutuan sedia ada perlu dikemukakan oleh kerajaan negeri berdasarkan senarai keutamaan melalui proses penyelarasan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan jabatan teknikal berkaitan sebelum dipertimbangkan oleh kementerian, tertakluk agihan peruntukan pembangunan yang diterima.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan