KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak sesekali akan bertolak ansur terhadap penjenayah yang dikatakan 'berkeliaran' sehingga memberi gambaran bahawa pihak berkuat kuasa lemah dalam menangani kegiatan mereka.
Mengambil contoh kes tiga penjenayah lelaki yang ditembak mati di Melaka baru-baru ini, beliau berkata kes itu akan disiasat secara rapi dan telus tanpa sebarang tolak ansur oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Saya dapat jaminan daripada Ketua Polis Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah (Bukit Aman) bahawa siasatan rapi dan telus (dilaksanakan), tiada tolak ansur. Laporan telah mereka kemukakan kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Perdana Menteri menjawab pertanyaan Senator Amir Md Ghazali yang ingin tahu langkah kerajaan dalam memperkukuh integriti dan ketelusan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam agensi penguatkuasaan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Anwar berkata tindakan itu membuktikan kerajaan tidak akan berkompromi sekiranya berlaku sebarang keterlanjuran tindakan oleh pihak polis, sambil menekankan bahawa setiap dakwaan akan disiasat secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang.
Berhubung kes kematian tahanan, Anwar berkata banyak dakwaan menyatakan kematian hanya melibatkan satu kaum sedangkan fakta sebenar menunjukkan ia turut melibatkan kaum lain, termasuk Melayu (25 orang), Cina (sembilan), masing-masing empat orang India dan Bumiputera Sabah serta Sarawak, selain warga asing (15 orang).
"Tentu ada beberapa kelemahan yang tidak boleh kita nafikan, tetapi untuk kita memberi gambaran negatif, saya fikir tidak adil terutama terhadap PDRM.
"PDRM dalam semua tindakan telah menunjukkan keupayaan mereka melalui proses integriti memperoleh jumlah (rampasan) besar untuk negara. Maknanya tindakan mereka terhadap penjenayah, penyeludup yang melibatkan tindakan berkesan tetapi persepsi (masyarakat) itu berbeza," katanya.
Pada masa sama, Anwar mengingatkan agar masyarakat membezakan antara kes salah laku penguatkuasaan dengan tindakan tegas terhadap penjenayah yang mengancam keselamatan awam, selain menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperkukuh integriti pasukan penguatkuasaan negara.
Perdana Menteri turut memaklumkan jumlah kes melibatkan penjenayah adalah terlalu kecil berbanding jumlah populasi penduduk negara seramai 34.5 juta orang atau tidak sampai 0.5 peratus daripada keseluruhan rakyat.
Justeru, beliau berkata bagi memastikan akauntabiliti dan keadilan terus terpelihara, kerajaan menyediakan mekanisme semak dan imbang, termasuk penubuhan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) serta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang membolehkan mana-mana pihak merujuk kes berkenaan untuk tindakan lanjut sekiranya masih tidak berpuas hati.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial