AM > BERITA

Berita-Berita Ringkas Dewan Negara: 16 Dis

16/12/2025 01:31 PM

 

PENYUSUNAN SEMULA KALENDAR AKADEMIK 2026 DIRANCANG TELITI, LIHAT PELBAGAI FAKTOR - KPM 

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Penyusunan semula Kalendar Akademik Tahun 2026 dilaksanakan secara terancang dan berfasa sejak sesi 2023/2024, dengan memastikan pematuhan terhadap keperluan minimum 190 hari persekolahan, sebagaimana ditetapkan dalam Akta Pendidikan serta peraturan-peraturan berkaitan.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata penyusunan semula itu juga mengambil kira pelarasan jadual pengajaran dan pembelajaran, peperiksaan-peperiksaan utama serta penyesuaian cuti penggal agar operasi sekolah berjalan lancar. 

“Sesi libat urus menyeluruh juga diadakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pentadbir sekolah serta pihak berkepentingan seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Sarawak Teacher’s Union dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas supaya tidak menimbulkan sebarang gangguan.  

“Kami yakin keputusan ini memberi manfaat optimum kepada murid, guru dan seluruh ekosistem pendidikan dan kementerian kekal terbuka menerima maklum balas daripada semua pihak berkepentingan,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Michael Mujah Lihan yang mahukan jaminan kementerian bahawa pengembalian Kalendar Akadamik Tahun 2026 kepada Januari tidak mengganggu pengoperasian institusi pendidikan dan adakah terdapat kajian dilakukan untuk menilai keberkesanannya.

-- BERNAMA

 

KPN TERIMA LAPORAN PENINGKATAN ISU PERKAUMAN, AGAMA OLEH AHLI POLITIK

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerima laporan indeks yang menunjukkan terdapat peningkatan isu perpaduan berkaitan perkauman dan agama dimainkan oleh ahli politik terutama ketika musim pilihan raya.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy berkata pelbagai inisiatif diambil kementerian itu di bawah Kerangka MADANI sebagai langkah menangani isu berkenaan termasuk kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menurunkan kandungan berkaitan di media sosial.

“Harapan kementerian, jangan menggunakan isu kaum dan isu agama sebagai modal politik sebab ia menjadi segala punca kepada di lapangan dan rakyat mula melihat semua perkara dalam lensa perkauman dan agama.

“Jadi, kami berharap semua parti politik guna berpandukan kepada pembangunan negara dan cadangan-cadangan konstruktif sebagai satu modal politik dalam pilihan raya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu langkah diambil KPN berhubung isu perpaduan yang kebanyakannya didalangi oleh ahli politik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan