AM > BERITA

Pengharaman Vape Kekal, Memorandum Jemaah Menteri Dibentang Awal Tahun

16/12/2025 02:31 PM

JOHOR BAHRU, 16 Dis (Bernama) -- Kerajaan tetap meneruskan pengharaman penuh rokok elektronik atau vape dengan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenainya dijangka dibentang pada awal tahun hadapan. 

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata  MJM itu kini sedang dimuktamadkan untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri, selepas pembentangan tidak sempat dilakukan pada mesyuarat Kabinet sebelum ini.

“Memang kita ke arah pengharaman, isu pokoknya adalah bila. Saya yakin seberapa segera, seperti yang pernah saya katakan iaitu pada pertengahan 2026 atau selewatnya-lewatnya hujung tahun hadapan,”  katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Hospital Permai di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Ling Tiang Soon dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr Mohtar Pungut. 

Beliau berkata kerajaan tetap meneruskan langkah berkenaan walaupun berdepan dengan pelbagai pandangan, berikutan peningkatan kes kemudaratan kesihatan melibatkan penggunaan vape, termasuk cecair vape yang dicemari bahan terlarang seperti ganja sintetik.

Dzulkefly berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari dan pakar perunding kesihatan awam Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman juga sedang giat melaksanakan kajian meliputi kesan dan implikasi perundangan terhadap masyarakat.

Sebelum ini, Dzulkefly dalam jawapan bertulis di Dewan Negara dilaporkan berkata pelaksanaan pengharaman vape akan dibuat secara berperingkat bermula dengan pengharaman sistem terbuka sebelum diperluas kepada semua jenis vape sehingga meliputi keseluruhan produk.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan