AM > BERITA

Johor Diminta Kemuka Kertas Cadangan Pembinaan RMMJ - Dr Dzulkefly

16/12/2025 04:03 PM

JOHOR BAHRU, 16 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor diminta mengemukakan segera kertas cadangan rasmi bagi pembinaan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di atas tanah milik kementerian itu di Kempas.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata permintaan itu dibuat susulan komitmen yang dinyatakan pihaknya sebelum ini, untuk mempertimbangkan hasrat kerajaan negeri memajukan tanah berkenaan.

Beliau berkata kertas cadangan itu perlu dikemukakan pada suku pertama tahun hadapan bagi memastikan segala proses dapat dilakukan dengan lancar.

"(bagaimanapun) saya tahu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon sangat pantas dan dinamis, saya yakin dalam tiga bulan pertama 2026 (kertas cadangan akan diperolehi)," katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Permai, di sini hari ini.

Dzulkefly berkata perkembangan itu merupakan proses yang perlu dilakukan, setelah pihaknya menerima permohonan rasmi daripada kerajaan negeri pada 4 Disember lepas.

Terdahulu, Dzulkefly dan Ling mengadakan pertemuan bersama agensi berkaitan termasuk bahagian perumahan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) bagi membincangkan perkara itu.

Mengenai keluasan tanah, beliau menjelaskan permohonan yang diterima melibatkan kawasan seluas kira-kira 58.67 hektar, namun perkara itu masih perlu diperhalusi memandangkan terdapat beberapa aspek dan perancangan yang perlu diteliti bersama.

Beliau sebelum ini dipetik berkata KKM akan mempertimbangkan hasrat negeri tersebut bagi pembangunan RMMJ di tanah selian kementerian itu.

Ia susulan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini, yang dipetik telah mengenal pasti tanah milik kerajaan yang berpotensi untuk dimajukan termasuk tanah di bawah seliaan KKM di Kempas.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut memuji kerajaan Johor serta semua pihak yang terlibat dalam mentransformasikan Pasar Nanyang di kawasan Mount Austin, di sini kepada Klinik Kesihatan Sultan Ismail (Unit Ibu dan Anak).

Beliau berkata inisiatif itu berupaya mengurangkan kira-kira 30 peratus kesesakan di Klinik Kesihatan Sultan Ismail (KKSI).

"Ini usaha yang sangat baik sekali gus menjadikan persekitaran selesa dan luas untuk ibu dan anak,” katanya.

Ling sebelum ini dipetik berkata, kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengambil keputusan mentransformasikan bangunan itu sebagai projek perintis dalam menangani kesesakan  di klinik kesihatan.

Dzulkefly berkata kerajaan negeri membayar sewa selama 10 tahun dengan kos RM2.4 juta, manakala kos menaik taraf RM1.08 juta serta RM760,000 bagi pembelian peralatan. 

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan