AM > BERITA

ATM Komited Teruskan Program CIMIC Pada 2026

16/12/2025 07:03 PM

SEMENYIH, 16 Dis (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Darat, komited untuk meneruskan pelaksanaan program Civil-Military Cooperation (CIMIC) atau Program Jiwa Murni (PJM) pada 2026, tertakluk kepada kelulusan dan penerimaan peruntukan kewangan.

Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Divisyen), Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal, berkata program berkenaan terus diberi keutamaan kerana terbukti berkesan dalam mengeratkan hubungan ATM dengan masyarakat awam serta membantu meringankan beban penduduk setempat.

“Program ini akan diteruskan oleh ATM, khususnya Tentera Darat. Bagi perancangan tahun hadapan, peruntukan masih belum diterima dan apabila dimuktamadkan nanti, keutamaan akan ditentukan berdasarkan keperluan serta kemampuan ATM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program Engineering Civic Action (ENCAP) peringkat 4 Divisyen di Dewan Kampung Pasir Baru, di sini hari ini.

Beliau berkata sepanjang 2025, kira-kira RM165,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program CIMIC oleh 4 Divisyen ATM, tertakluk kepada keperluan dan keutamaan di kawasan terlibat.

Pelbagai program telah dilaksanakan termasuk ENCAP, Program Bertanya Khabar, Forum Perdana, gotong-royong rewang, pengurusan jenazah, sumbangan kepada asnaf, pameran aset, pemeriksaan kesihatan serta pergigian dan kerja-kerja mengecat.

Mengulas pelaksanaan ENCAP di Kampung Pasir Baru, Khairul Azmizal berkata 2 Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 RAJD) di bawah Pemerintahan 4 Divisyen diberi tanggungjawab melaksanakan kerja pembaikan Dewan Orang Ramai kampung itu, memandangkan pasukan berkenaan mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan.

Projek berkenaan berjaya disiapkan sebelum akhir tahun dan kini boleh dimanfaatkan penduduk sebagai kemudahan komuniti.

“Setakat pengalaman saya, penerimaan masyarakat kampung terhadap ATM amat baik dan positif. Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk kampung, malah turut memperkukuhkan hubungan antara awam dan tentera demi pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkatapelaksanaan program Jiwa Murni merupakan pendekatan lama ATM sejak era ancaman Parti Komunis Malaya, berasaskan prinsip bahawa pertahanan negara tanggungjawab bersama dan bukan hanya terletak di bahu tentera semata-mata.

“Walaupun ancaman komunis tamat pada 1989, pendekatan mendekati masyarakat awam dan membantu pembangunan setempat terus dilaksanakan kerana ia berupaya memperkukuhkan kerjasama awam dan tentera dalam menghadapi cabaran keselamatan negara secara keseluruhan,” katanya. 

Dalam konteks bencana, beliau berkata membantu pihak awam merupakan tugas sekunder ATM dan peranan itu akan terus dilaksanakan apabila diarahkan, selaras dengan komitmen ATM terhadap kesejahteraan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan