AM > BERITA

DUN: Wanita, Belia Dan Sukan Diperkukuh Sebagai Teras Pembangunan Sabah 2026

16/12/2025 05:33 PM

KOTA KINABALU, 16 Dis (Bernama) -- Kerajaan Sabah memperhebat agenda pemerkasaan wanita melalui pelancaran tiga program baharu di bawah Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang memberi tumpuan kepada keusahawanan, pembangunan keluarga serta pembentukan komuniti harmoni.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Julita Mojungki berkata ketiga-tiga program itu disusun untuk memastikan wanita di seluruh Sabah, khususnya golongan rentan, menerima sokongan pembangunan diri yang lebih tersusun, inklusif dan bersifat jangka panjang.

“Peranan dan sumbangan wanita dalam arus pembangunan wilayah Sabah diiktiraf dan diberi keutamaan dengan penjenamaan semula kementerian saya kepada Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Justeru, usaha memperkasakan wanita diperhebatkan lagi dengan program baharu seperti berikut di samping program sedia ada,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata program pertama ialah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) BizBloom, memberi tumpuan kepada latihan keusahawanan, kemahiran asas perniagaan dan bimbingan mentor bagi meningkatkan taraf ekonomi wanita, khususnya ibu tunggal dan wanita B40.

Julita berkata program kedua, Keluarga Sejahtera Wanita Unggul dilaksanakan bagi memperkukuh institusi keluarga melalui pendidikan keibubapaan, perkahwinan serta kesihatan lelaki dan wanita, selaras dengan objektif mewujudkan keluarga berdaya tahan dan sejahtera.

Menurut beliau, kementerian turut memperluas Program Generasi Harmoni di 10 daerah bagi meningkatkan kefahaman masyarakat luar bandar terhadap kesaksamaan gender, pembangunan berasaskan lensa gender dan keseimbangan peranan sosial di samping membentuk komuniti yang lebih harmoni dan inklusif.

Beliau berkata kementeriannya akan terus melaksanakan agenda pembangunan wanita secara konsisten dan berfokus, seiring usaha kerajaan negeri meningkatkan kesejahteraan rakyat di setiap lapisan masyarakat.

Sementara itu, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah akan memberi tumpuan kepada tiga agenda utama pada 2026 meliputi pemerkasaan golongan belia, menjadikan Sabah sebagai negeri sukan serta meningkatkan kebolehpasaran industri ekonomi kreatif.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri Datuk Nizam Titingan berkata agenda berkenaan dirangka berasaskan kedudukan Sab­­ah yang mempunyai kelompok belia terbesar di Malaysia, dengan unjuran dua juta belia berusia 15 hingga 40 tahun atau hampir 60 peratus daripada populasi negeri.

“Kementerian saya menerima peruntukan RM88.01 juta perbekalan dan RM10.05 juta pembangunan. Saya dan seluruh tenaga kerja kementerian akan menyediakan program padanan untuk memastikan setiap janji dalam manifesto Gabungan Rakyat Sabah pada pilihan raya negeri lepas ditunaikan,” katanya.

Nizam berkata fokus pertama adalah pemerkasaan belia secara proaktif dan efektif, menerusi pendekatan pembangunan, latihan, pengiktirafan dan pemantauan.

Beliau berkata program di bawah inkubator kepimpinan belia Sabah (I-CAPS) seperti Felo Sabah Maju Jaya (SMJ), Dewan Belia Sabah, Tamu Suara Belia, Karnival Belia Sabah, Youth Exchange dan program kesukarelawanan akan diperkukuh bagi melahirkan generasi belia yang inovatif, berdaya tahan dan berkeupayaan mencipta peluang.

Nizam berkata Sabah mempunyai potensi besar dalam sukan berprestasi tinggi dan sukan orang kurang upaya, justeru kementerian akan melaksanakan kajian holistik bagi memperkukuh pembangunan atlet serta persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor dan Para SUKMA Selangor tahun depan.

Menjawab isu dibangkitkan Datuk Masiung Banah (GRS-Kuamut) mengenai Kompleks Sukan Tongod yang terbengkalai, beliau berkata kontraktor terdahulu telah ditamatkan pada 3 Sept dan kementerian kini dalam proses menyediakan dokumentasi bagi melantik kontraktor penyelamat.

“Sekiranya dokumentasi dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini, kita akan laksanakan projek ini dalam peruntukan tahun hadapan, insya-Allah,” katanya.

Beliau turut memberi komitmen untuk melawat semua kompleks sukan bagi memastikan setiap isu diselesaikan secara sistematik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan