AM > BERITA

Rombakan Kabinet: Anggota Jemaah Menteri Komited Jalankan Amanah Sebaik Mungkin

16/12/2025 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Anggota Jemaah Menteri baharu dan yang bertukar portfolio dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan iltizam mereka untuk menjalankan amanah yang diberi sebaik mungkin.

Datuk Seri R. Ramanan yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia berkata pelantikan beliau merupakan satu tanggungjawab besar untuk memastikan agenda pembangunan tenaga kerja negara diperkasakan secara menyeluruh, inklusif dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Ramanan yang juga bekas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata beliau akan melaksanakan tugas dan tanggungjawab itu dengan penuh dedikasi dan komitmen demi menjamin harapan rakyat Malaysia termasuk komuniti India di negara ini.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk menggalas amanah sebagai Menteri Sumber Manusia.

“Saya juga mewakili komuniti India di negara ini ingin mengucapkan nandri (terima kasih) kepada  beliau yang telah memberikan penghormatan dan mandat ini bagi menggalas tugas sebagai Menteri Sumber Manusia,” katanya dalam kenyataan. 

Sim Tze Tzin yang memegang jawatan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pula berikrar untuk bekerjasama dengan Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam memperkukuh agenda pelaburan, perdagangan dan perindustrian negara.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu beriltizam untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan penuh dedikasi, amanah dan integriti demi kepentingan negara.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) terhadap saya.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh pengundi Bayan Baru atas kepercayaan yang diberikan kepada saya sepanjang empat penggal, iaitu satu penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak dan tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru," katanya dalam hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib yang bertukar portfolio daripada Timbalan Menteri Ekonomi turut menyatakan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kepimpinan negara atas kepercayaan yang terus diberi untuk memikul tanggungjawab di kementerian baharu.

Menerusi hantaran di Facebook, Hanifah Hajar berkata beliau komited untuk melaksanakan amanah itu dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat dan negara, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip keadilan, kemampanan dan kesejahteraan menyeluruh.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu Mordi Bimol pula berazam untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin demi kepentingan belia dan pembangunan sukan negara.

Ahli Parlimen Mas Gading itu berkata pada peringkat awal, fokus beliau adalah untuk memahami sepenuhnya peranan dan keperluan kementerian, di samping menyokong usaha sedia ada dalam pembangunan belia serta sukan, khususnya pada peringkat akar umbi.

“Sebagai seorang Ahli Parlimen, saya sedar akan keterbatasan diri dan keperluan untuk terus belajar. Pengalaman sebagai wakil rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, akan menjadi panduan dalam menyumbang secara berperingkat dan berlandaskan realiti di lapangan,” katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan