AM > BERITA

Teksi Rentas Malaysia-Singapura: Penyelarasan Kadar Tambang Perlu Adil

17/12/2025 09:45 AM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

JOHOR BAHRU, 17 Dis (Bernama) -- Keputusan Malaysia dan Singapura membenarkan teksi rentas sempadan menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di luar negara asal masing-masing, berupaya meningkatkan pendapatan serta kecekapan perkhidmatan pemandu teksi kedua-dua negara.

Rata-rata pemandu teksi berpandangan, langkah berkenaan memberi impak positif dengan jangkaan peningkatan jumlah perjalanan, sekali gus mewujudkan fleksibiliti perkhidmatan yang dapat memudahkan pergerakan penumpang rentas sempadan.

Namun demikian, terdapat beberapa perkara yang menurut mereka wajar diberi perhatian oleh kerajaan, terutama penstrukturan semula kadar tambang serta penyelarasan mekanisme pelaksanaan pada peringkat lapangan.

Ketika ini, perjalanan sehala dari lokasi pengambilan yang telah ditetapkan, iaitu Terminal Larkin Sentral di sini, ke Terminal Jalan Ban San, Singapura dikenakan tambang sebanyak RM120, manakala perjalanan sehala dari lokasi yang sama di republik itu ke Johor Bahru pula ialah sekitar 60 dolar Singapura.

Pemandu teksi Azmi Ahmad, 54, yang berasal dari Tampoi berkata kadar tambang sedia ada perlu disemak semula agar selari dengan jarak perjalanan dan jumlahnya harus adil kepada pemandu kedua-dua negara termasuk penumpang.

“Memang wajar disemak, sebab masing-masing akan menurunkan penumpang ke lokasi yang lebih jauh, berbanding sebelum ini dan kadar tambang itu perlulah realistik,” katanya yang telah lebih 20 tahun bekerja sebagai pemandu teksi.

Turut senada, Yusof Salleh, 56, berkata pelaksanaannya perlu disertakan dengan garis panduan yang jelas, bagi mengelakkan kekeliruan di lapangan serta memastikan persaingan sihat antara pemandu.

Pemandu teksi dari Singapura, Azman Hon, 63, pula menjangkakan kos operasi akan meningkat susulan keluasan geografi Malaysia yang jauh lebih besar berbanding republik itu.

“Contohnya, kita dapat penumpang dari Singapura hendak ke Muar, perjalanan mengambil masa lebih dua jam. Jadi, dalam perjalanan balik, kita tidak boleh ambil penumpang dan teksi akan bergerak kosong,” katanya yang menetap di Ang Mo Kio.

Justeru, Mohamad Yazid, 58, yang berasal dari Bedok mencadangkan agar lebih banyak lokasi pengambilan penumpang diwujudkan, selain memperkenalkan mekanisme tempahan berpusat seperti platform e-panggilan khususnya untuk teksi rentas sempadan.

Beliau berkata sistem tempahan sedemikian, dapat membantu pemandu merancang perjalanan dengan lebih efisien, mengurangkan masa menunggu serta memastikan peluang mendapatkan penumpang yang adil kepada pemandu dari kedua-dua negara.

Pengerusi gabungan tiga persatuan teksi rentas sempadan Johor Bahru-Singapura Mohd Suhaimi Saidi ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) hari ini, bagi membincangkan pelbagai perkara, termasuk penyelarasan tambang.

“Kita berharap segala perkara yang akan dibangkitkan dapat menerima maklum balas positif daripada APAD dan kerajaan secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata persatuan dianggotai kira-kira 189 ahli dan merupakan antara pihak yang sekian lama memperjuangkan nasib serta masa depan pemandu teksi rentas sempadan itu, menyambut baik inisiatif diambil kedua-dua kerajaan kerana telah menamatkan penantian mereka dan membuka lembaran baharu dalam penambahbaikan pengangkutan tersebut.

Mohd Suhaimi berkata langkah itu juga, mampu menangani isu kewujudan kereta sapu yang beroperasi secara tidak sah, sekali gus memastikan perkhidmatan pengangkutan rentas sempadan yang lebih teratur, selamat dan berdaya saing.

Pada 4 Dis, kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan beberapa penambahbaikan penting bagi memperkukuh hubungan pengangkutan darat rentas sempadan melalui perkhidmatan teksi dan bas, susulan mesyuarat antara Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan rakan sejawatnya Jeffrey Siow, sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-12.

Ini termasuk membenarkan teksi asing menurunkan penumpang di mana-mana lokasi di luar negara asal mereka, namun pengambilan penumpang kekal terhad di lokasi ditetapkan dan akan ditambah secara berperingkat bagi mengelakkan operasi titik-ke-titik domestik.

Kuota teksi berlesen rentas sempadan daripada 200 kepada 500 bagi setiap negara juga akan dipertingkatkan secara berperingkat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan