KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara yang bakal berlangsung pada Ahad ini di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, Perak merupakan wadah penyatuan ummah serta manifestasi usaha berterusan kerajaan memperkasa agenda pemerkasaan huffaz dan pendidikan tahfiz di peringkat nasional dan serantau.
Pejabat Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan program bertemakan “Warisan Qurani, Membina Generasi Rabbani” itu terbuka kepada orang ramai dan bertujuan menyemarakkan roh al-Quran di samping memperkasa pemelihara dan pewaris al-Quran termasuk para huffaz, asatizah, pendakwah serta penggiat dakwah tanah air dan rantau Nusantara.
Penganjuran kali ini tampil dengan pendekatan yang lebih komprehensif dan kontemporari dengan menggabungkan elemen dakwah dan kesenian Islam, wacana keilmuan, jaringan kerjasama serantau serta perbincangan cabaran dakwah semasa.
“Program ini bukan sekadar perhimpunan tetapi medan penyatuan ummah yang mengangkat ukhuwah Islamiah, pemartabatan ilmu al-Quran dan pengukuhan dakwah melalui pendekatan berhikmah, berkesan dan penuh kesantunan.
“Lebih daripada itu, himpunan ini menjadi wadah strategik memperteguh peranan pendidikan tahfiz sebagai tunjang pembangunan modal insan Rabbani,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan penyertaan aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diperkenalkan sejak 2024 turut diteruskan bagi membentuk huffaz berkemahiran, seimbang antara penguasaan ilmu agama dan profesionalisme, sejajar dengan keperluan tenaga mahir masa depan.
Selain itu, himpunan berkenaan turut menjadi pentas penting bagi pelancaran Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) yang dijadualkan dikuatkuasakan di seluruh negara bermula 2026 sebagai langkah memperkukuh kualiti dan tadbir urus institusi tahfiz.
“SPTM merupakan inisiatif strategik yang diperkenalkan sebagai standard kebangsaan untuk mengiktiraf institusi tahfiz berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Agama Negeri,” menurut kenyataan itu.
Standard berkenaan dirangka bagi mempertingkatkan kualiti institusi tahfiz secara menyeluruh yang merangkumi tadbir urus, prasarana, kurikulum, kokurikulum, kualiti tenaga pengajar serta sumber pendidikan.
Pelaksanaan SPTM dijangka menjadi pemangkin kepada pemodenan pendidikan tahfiz seiring dengan tuntutan semasa dan sekali gus memperluas laluan kerjaya serta pembangunan profesional dalam ekosistem tahfiz negara.
Menurut kenyataan itu, penganjuran mega berkenaan juga selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina negara secara inklusif, sejahtera dan berdaya tahan.
“Selari dengan teras Malaysia MADANI, program ini menekankan nilai perpaduan, keterangkuman, pendidikan berteraskan agama dan pembangunan modal insan seimbang secara fizikal, spiritual dan intelektual,” menurut kenyataan itu.
Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara dijangka memberi impak besar terhadap pengukuhan Pendidikan al-Quran, memperkasa peranan huffaz sebagai pemimpin rohani masa depan dan menyumbang secara signifikan ke arah pembangunan negara yang holistik dan berteraskan nilai Rabbani.
Dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), program berkenaan bukan sekadar perhimpunan tahunan, tetapi platform perkongsian ilmu, pemerkasaan ummah dan pemantapan hala tuju pendidikan Islam di era moden.
Antara pengisian utama program ialah Bicara Hati Umat bersama Ustaz Prof Dr Abdul Somad Batubara serta persembahan seni dakwah yang bakal menghubungkan dakwah kontemporari dengan seni, budaya dan suara anak muda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial