KUALA BERANG, 17 Dis (Bernama) -- Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris di Hulu Terengganu ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula hari ini susulan kejadian hakisan tanah di kawasan permukaan dinding culvert atau pembetung akibat arus air yang deras.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abd Wahab berkata sebelum ini sebahagian jalan itu mula mengalami hakisan tanah pada Mei lepas, namun ia runtuh sepenuhnya pada 7 pagi tadi.
Beliau berkata penutupan itu bagi memberi ruang kepada kerja keselamatan dan pemulihan di kawasan berkenaan.
"Jalan itu tidak selamat dilalui semua kenderaan dan ia perlu dibaiki segera kerana satu-satunya jalan yang ada untuk ke Sungai Deka Elephant Conservation Center. Jika terputus jalan tersebut, maka bekalan minyak untuk kegunaan generator elektrik akan terputus bekalan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sehubungan dengan itu, Sharudin berkata penghadang konkrit dan papan tanda telah dipasang serta pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif sementara, iaitu Sungai Tong-Jerteh-Kuala Krai-Aring 8.
Beliau berkata orang ramai diminta tidak melalui kawasan itu bagi menjamin keselamatan, selain pihak polis akan meningkatkan kekerapan pemantauan di lokasi berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial