SEREMBAN, 17 Dis (Bernama) -- Trend pematuhan kenderaan motor terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 mencatatkan peningkatan sebanyak 94 peratus hampir mencapai sasaran Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebanyak 95 peratus.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Dr Norhazni Mat Sari berkata peningkatan pematuhan itu dicapai berdasarkan pengunaan bahan bakar berkualiti, iaitu diesel Euro 5 selain faktor usia enjin kenderaan digunakan pengguna bertambah baik serta penyelengaraan secara berkala.
Beliau berkata menerusi Operasi Gerak Kebangsaan kali ini, sebanyak 9,269 kenderaan diperiksa di seluruh negara dan daripada jumlah itu hanya 567 kenderaan dikesan tidak mematuhi peraturan ditetapkan.
"Pada operasi kali ini hanya enam peratus sahaja masih tidak mematuhi peraturan dan melanggar enam peraturan berkaitan pelepasan asap diesel dan petrol ditetapkan termasuk melebihi ujian bacaan asap.
"Walaupun sasaran 100 peratus pematuhan sukar dicapai dalam tempoh terdekat disebabkan pelbagai faktor tetapi pencapaian hampir 95 peratus ini dianggap sangat baik dan realistik ketika ini,” katanya kepada pemberita pada Program Penutupan Ops Gerak Kenderaan Bermotor Peringkat Kebangsaan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Mambau, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAS Rosli Zul dan Pengarah Bahagian Udara JAS Nor Aziah Jaafar.
Norhazni berkata pelaksanaan Minggu Ops Gerak Kebangsaan pada tahun ini mencerminkan pendekatan JAS dalam memastikan pematuhan undang-undang alam sekitar secara menyeluruh.
"Semua aspek berkaitan pelepasan asap dan gas, bunyi bising motosikal, kandungan bahan api dan pengurusan refrigerant turut diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan operasi melibatkan semua JAS negeri dengan kerjasama strategik agensi penguatkuasaan lain, termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta agensi-agensi berkaitan pada peringkat Persekutuan dan negeri.
Norhazni berkata penguatkuasaan meliputi semua peraturan utama di bawah AKAS 1974, termasuk kawalan pelepasan daripada enjin diesel, petrol motosikal, kawalan bunyi bising kenderaan motor, kawalan kandungan petrol dan diesel serta pengurusan refrigerant.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial