SHAH ALAM, 18 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor masih menunggu keputusan Kabinet berhubung cadangan pembinaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata rangka kerja berkaitan projek berkenaan dijangka diserahkan oleh Kabinet kepada kerajaan negeri pada Januari depan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
"Kita tunggu keputusan Kabinet kerana itu antara perkara yang ingin diputuskan," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Projek Fiberisasi-Cyberjaya di sini hari ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri sebelum ini telah memutuskan supaya tanah dasar laut seluas 1,011.71 hektar diserahkan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) manakala tanah milik Yayasan Selangor seluas 687.96 hektar pula akan diselia bersama oleh PKNS dan Yayasan Selangor.
Beliau berkata sehubungan itu, mana-mana pihak yang dipilih atau diberikan peluang oleh kerajaan Persekutuan untuk membangunkan pelabuhan ketiga itu kelak perlu mengadakan perbincangan dengan PKNS.
"Itu keputusan kerajaan negeri. Perkara ini telah diputuskan beberapa minggu lepas dan tanah berkenaan telah diluluskan sejak November lepas,” katanya.
Amirudin berkata pelaksanaan pembangunan pelabuhan ketiga itu hanya akan dimulakan selepas lesen berkaitan dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan.
Pada Februari 2023, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata Pulau Carey dijangka menjadi pelabuhan antarabangsa ketiga di Selangor selepas Pelabuhan Utara dan Barat dengan syarikat tempatan akan diberi keutamaan menjadi operator pelabuhan itu.
Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mengarahkan semua agensi berkaitan untuk bergerak pantas dalam merealisasikan pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey.
Anwar berkata projek berkenaan yang dilihat sebagai peluasan besar kapasiti Pelabuhan Klang sudah tertangguh selama bertahun-tahun dan 'tidak wajar ditunda lagi'.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial