AM > BERITA

Hannah Yeoh Hargai Kepimpinan Dr Zaliha

18/12/2025 07:46 PM

PUTRAJAYA, 18 Dis (Bernama) --  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa atas sumbangan dan kepimpinan beliau dalam pembangunan Wilayah Persekutuan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai menteri sebelum ini.

Menerusi satu hantaran Facebook, Hannah berkata Dr Zaliha telah menunjukkan kepimpinan yang matang dan inklusif dengan mengutamakan suara dan pandangan wakil rakyat, khususnya dalam menangani isu sensitif seperti pembangunan di Taman Rimba Kiara.

“Sebagai Ahli Parlimen Segambut, saya menghargai kepimpinan beliau yang mengutamakan suara dan pandangan wakil rakyat terutamanya dalam kes Taman Rimba Kiara,” katanya.

Hannah berkata Dr Zaliha mengutamakan rundingan dengan pihak berkepentingan dalam menyelesaikan isu kontroversi, justeru beliau menghargai usaha Dr Zaliha yang meluangkan masa untuk berinteraksi dan mendapatkan maklum balas penduduk terutamanya dalam kes Taman Rimba Kiara.

Menurut Hannah, beliau juga akan bertemu dengan Dr Zaliha serta membincangkan mengenai perkara yang sedang beliau kendalikan bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.

Hannah, yang sebelum ini menerajui Kementerian Belia dan Sukan dilantik ke jawatan baharu itu susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 16 Dis lepas.

Beliau juga pernah mencipta sejarah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari 2013 hingga 2018, sekali gus menjadi wanita pertama dan paling muda dilantik menyandang jawatan itu.

Sementara itu, Dr Zaliha dilaporkan berkata beliau akan terus memberikan sokongan penuh kepada agenda MADANI serta dasar-dasar reformasi yang sedang dan akan dilaksanakan demi negara dan rakyat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan