MELAKA, 18 Dis (Bernama) -- Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memperkukuh komitmen dalam memacu kelangsungan pendidikan dan pembangunan bakat muda menerusi perkongsian kepakaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di bawah Program Sekolah Angkat MADANI.
Naib Canselor UPNM Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata program itu melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Mas dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tijah, sebagai sebahagian usaha universiti menjalin hubungan strategik dalam memacu kecemerlangan pendidikan nasional.
“Program ini juga bagi menyahut seruan dan cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merapatkan jurang pendidikan serta memperkasakan ekosistem pembelajaran menerusi penglibatan aktif Institusi Pengajian Tinggi.
"UPNM memfokuskan empat teras utama pemerkasaan dengan peruntukan RM100,000 bagi setiap sekolah, iaitu penambahbaikan infrastruktur, intervensi akademik dan STEM; pembangunan sahsiah serta kepimpinan; dan sokongan kebajikan serta komuniti," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Sekolah Angkat MADANI 2025 di SK Telok Mas, di sini hari ini.
Arman Rumaizi berkata penglibatan UPNM dalam program ini bukan sekadar tanggungjawab sosial, sebaliknya merupakan hubungan strategik jangka panjang bagi memastikan kelangsungan pendidikan pelajar sehingga peringkat universiti.
Beliau berkata dalam aspek penambahbaikan infrastruktur, UPNM akan menaik taraf ruang pembelajaran dan kemudahan asas sekolah bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif, selamat dan menyokong keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
"Bagi teras intervensi akademik dan STEM pula, pelaksanaan Klinik Pembelajaran, program STEM serta bimbingan peperiksaan akan diperluaskan bagi menyemarakkan minat murid terhadap sains dan teknologi di samping meningkatkan prestasi akademik mereka.
"Selain itu, UPNM memberikan penekanan kepada pembangunan sahsiah dan kepimpinan murid menerusi pengukuhan jati diri, disiplin kendiri serta semangat patriotisme sejak di bangku sekolah," katanya.
Beliau berkata penguasaan STEM merupakan faktor kritikal dalam mendepani cabaran global dan membentuk daya tahan negara pada masa hadapan.
"Kami mahu usaha berkenan menjadi jambatan untuk anak-anak ini terus cemerlang dengan adanya perkongsian dan pemindahan ilmu menerusi hubungan strategik ini," katanya.
Dalam pada itu, Arman Rumaizi turut turun padang melawat Kampung Angkat MADANI UPNM di Kampung Alai bagi melihat pelaksanaan projek tambah baik dan naik taraf kemudahan, melibatkan peruntukan kira-kira RM1 juta.
Beliau berkata projekitu kini dalam proses pelaksanaan dan telah 80 peratus selesai melibatkan pembinaan seperti gelanggang futsal berbumbung, pembaikan gerai ekonomi kampung, pemasangan lampu di kawasan perkuburan baharu dan pemasangan karpet di Masjid Al-Falihin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial