MELAKA, 18 Dis (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri diarah sentiasa memantau pelaksanaan projek di bawahnya, agar menepati jadual pelaksaaan yang ditetapkan kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata pemantauan itu penting, khususnya ke atas kontraktor yang sengaja melewatkan pelaksaan projek tanpa alasan kukuh hingga menyebabkan wujudnya projek sakit.
“Kita tidak suka projek lewat jadual atau EOT. Kita mahu semua projek yang diamanahkan mendahului jadual dan ini prinsip umum yang diterima pakai malah ditekankan oleh Menteri (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) malah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri.
“Paling utama kita tidak mahu fasa prapembinaan menjadi terlalu lama, sedangkan ia (projek) tersebut telah diumumkan seperti Bangunan Wad Wanita dan Kanak-Kanak kepada rakyat. Sebab itu saya minta supaya pengarah dan pihak terlibat selalu menyusuli dan mendapatkan maklumat perkembangan agar projek prapembinaan segera masuk ke peringkat pelaksanaan dan seterusnya pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat sempena lawatan kerja rasmi ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka di sini hari ini.
Sejajar itu Ahmad berkata beliau mahu 159 projek pembinaan dan penyelenggaraan Persekutuan dengan nilai keseluruhan RM2.7bilion telah dikenal pasti dan dilaksanakan JKR Melaka yang merangkumi fasa perancangan, pembinaan dan serahan, menepati prinsip projek mendahului jadual tersebut.
Terdahulu pada sesi taklimat tersebut, beliau berpuas hati dengan pencapaian JKR Melaka, dan mahu satu-satunya projek sakit iaitu pembinaan Masjid Lesung Batu di Machap Jaya, Alor Gajah disiapkan segera dengan pemantauan teliti.
Ahmad berkata beliau juga telah meluluskan permohonan daripada Datuk Muhamad Akmal Saleh yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau, mengenai satu kawasan yang sentiasa dilanda banjir dan mahu longkang di lokasi tersebut dibaiki segera untuk mengatasi masalah tersebut.
“Bagi kes sebegini kita telah luluskan. Ini contoh kes-kes yang boleh kita luluskan atas dasar kesesuaian dan kepentingan.
“Bila kita segerakan kelulusan bagi permohonan projek sebegini, hilanglah satu masalah besar yang dialami penduduk,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial