AM > BERITA

NADMA Selaraskan Tindakan Segera Hadapi Banjir Enam Negeri - Anwar

18/12/2025 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyelaraskan tindakan segera bersama agensi berkaitan, susulan musibah banjir yang melanda enam negeri ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata antara tindakan itu termasuklah hebahan awal khidmat pesanan ringkas (SMS) kecemasan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyaluran bantuan kebajikan dan keperluan asas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Perdana Menteri berkata langkah lain termasuklah pengoperasian pam kecemasan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengawal paras air dan mengurangkan risiko banjir.

“Saya amat terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini, serta nasib mangsa-mangsa yang terjejas. Mohon mendoakan agar musibah ini segera reda dan mangsa banjir dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Rakyat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) apabila diarahkan, demi keselamatan diri dan keluarga,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Dalam masa sama Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang sedang bertungkus-lumus di lapangan, demi membantu mangsa-mangsa yang terjejas.

Berdasarkan data terkini Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) setakat 8 malam ini, enam negeri dilanda banjir iaitu Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor dan Sarawak membabitkan 13,419 mangsa yang berlindung di 95 PPS.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan