AM > BERITA

Lotus's Cheng Kini Lebih Luas Dan Selesa, Tawar 11 Lot Jualan Baharu

19/12/2025 12:07 AM

MELAKA, 18 Dis (Bernama) -- Lotus's Cheng kini tampil dengan wajah baharu dengan ruang yang lebih luas dan selesa, sekali gus menjadikannya bukan lagi sekadar destinasi beli-belah harian malah berperanan sebagai hab kejiranan yang memenuhi keperluan gaya hidup komuniti setempat dalam suasana yang lebih luas dan kondusif.

Ketua Pegawai Kewangan dan Pembangunan Hartanah Lotus’s Malaysia Yvonne Yong berkata penambahbaikan di kawasan tingkat bawah yang sebelum ini merupakan kawasan parkir itu penting, bagi meningkatkan tahap keselesaan pelanggan, selain menyediakan lebih banyak pilihan khususnya dalam segmen makanan dan minuman (FnB).

“Pembesaran ini bukan sahaja memberi ruang yang lebih selesa kepada pembeli, malah memperkaya pengalaman mereka dengan penawaran lebih banyak kedai makanan yang menawarkan menu dan hasil buatan orang tempatan,” katanya pada sesi pengenalan ruang baharu Lotus’s Cheng kepada media di sini.

Beliau berkata ubah suai itu merupakan antara yang terbesar dan julung kali dilakukan oleh rangkaian Lotus’s Malaysia, melibatkan penambahan 4,311 meter persegi ruang baharu, menjadikan keluasan keseluruhan pusat beli-belah tersebut kepada 7,616 meter persegi.

“Kini sebanyak 11 lot baharu yang menempatkan 12 penyewa telah beroperasi, menjadikan keseluruhan lot runcit kepada 57 lot penyewa, dengan kira-kira 30 peratus daripadanya terdiri daripada penyewa FnB.

“Fokus utama pembesaran ini adalah untuk menyediakan pilihan makanan yang lebih pelbagai, khususnya jenama tempatan, agar penduduk sekitar dapat menikmati hidangan dan beli-belah dalam suasana yang selesa di satu tempat,” katanya.

Antara tarikan utama di ruang baharu itu ialah Harum Kopi, jenama tempatan yang tampil buat pertama kali di pusat beli-belah, selain Mee Hiris Express, Bonda Laksa, Mixue, Big Apple Donuts dan My Mom’s Chicken Rice.

Bagi kategori gaya hidup dan elektronik pula, antara kedai yang turut beroperasi ialah Sin Siang Stationery, Umairose Boutique dan Xiaomi.

“Kita percaya naik taraf ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan jenama tempatan tetapi turut memberi nilai tambah kepada komuniti setempat dengan menyediakan ruang beli-belah, menjamu selera dan bersantai yang lebih selesa serta mesra keluarga,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan