KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Bermula Januari depan, semua permohonan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) meliputi empat akta utama boleh dikemukakan sepenuhnya secara dalam talian, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R.Ramanan.
Beliau berkata inisiatif pendigitalan itu melibatkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.
"Bagi tidak menyusahkan pencarum, permohonan boleh dibuat dalam talian menggunakan sama ada telefon bimbit atau komputer mulai 1 Jan depan.
"Saya percaya ini satu langkah yang baik sebab mereka (pemohon) dapat menjimatkan masa dan kos perjalanan untuk ke pejabat PERKESO," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi pertama ke Menara PERKESO di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Selain aspek pendigitalan, Ramanan turut mengumumkan sasaran pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau LINDUNG 24 Jam menjelang suku pertama atau akhir suku kedua 2026.
Ramanan yang dilantik menerajui Kementerian Sumber Manusia dalam rombakan Kabinet Kerajaan MADANI Selasa lepas berkata beliau komited untuk memastikan skim itu dilaksanakan secara telus, lancar dan berkesan demi kebaikan pekerja.
Menyentuh mengenai golongan pekerja rentas sempadan, Ramanan berkata PERKESO akan merintis Skim Pengembara bermula tahun hadapan menerusi satu kajian kebolehlaksanaan yang teliti bagi mencari mekanisme perlindungan terbaik.
"Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, angkanya hampir 400,000 pekerja tempatan yang melintas Tambak Johor setiap hari.
"Saya telah arahkan PERKESO untuk cari satu jalan, bagaimana kita boleh memberikan mereka perlindungan untuk menjaga keselamatan mereka dan tidak tercicir," katanya.
Bagi meringankan beban majikan, Ramanan berkata PERKESO bersetuju menawarkan pengurangan kadar Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) sebanyak 80 peratus bermula hari ini hingga penghujung Februari 2026.
"PERKESO telah bersetuju penalti dikurangkan. Kita berikan 80 peratus diskaun, tetapi perlu dibayar sebelum hujung Februari," katanya sambil menambah insentif berkenaan bertujuan membantu kelangsungan operasi majikan khususnya sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial