PUTRAJAYA, 19 Dis (Bernama) -- Kerajaan sedang merangka beberapa inisiatif utama antaranya pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 dan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) dalam usaha memperkukuh perlindungan kepada pelajar tahfiz serta memperketat tadbir urus institusi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan hari ini berkata DPTN 2.0 dijadualkan dilancarkan pada tahun hadapan.
"Dasar berkenaan akan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan pematuhan undang-undang, pemantapan kurikulum dan model Pendidikan Tahfiz Kebangsaan, pemerkasaan modal insan serta tadbir urus institusi, selain peluasan laluan pendidikan dan kebolehpasaran huffaz," katanya.
Beliau berkata SPTM yang merupakan mekanisme penting untuk menyeragamkan standard kualiti institusi tahfiz, meliputi aspek tadbir urus, kebajikan pelajar, kualiti pengajaran, prasarana serta pematuhan perundangan pula akan dilancarkan Ahad ini bersempena dengan Himpunan Huffaz 2025 dan Simfoni Dakwah Nusantara di Bagan Datuk, Perak.
Ahmad Zahid berkata SPTM dirangka bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat, berdisiplin dan berakhlak di institusi tahfiz.
"Saya yakin langkah bersepadu ini akan menjadi asas kukuh dalam memulihkan keyakinan masyarakat, memperkasakan institusi tahfiz secara berhemah serta memastikan pendidikan al-Quran terus berkembang dalam kerangka yang berperikemanusiaan, berperaturan dan berteraskan nilai rahmah.
"Moga ikhtiar ini menjadi asbab institusi tahfiz terus dimartabatkan sebagai medan melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan dihormati, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan ummah dan pembangunan negara," katanya.
Ahmad Zahid dalam pada itu meluahkan rasa kekesalan yang mendalam terhadap insiden-insiden yang tular baru-baru ini melibatkan keganasan terhadap pelajar institusi pendidikan agama, termasuk kejadian di Sabah dan rakaman penderaan fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz.
Beliau berkata sebarang bentuk kekerasan, penderaan atau layanan yang mencabul maruah kanak-kanak adalah tidak boleh diterima sama sekali, lebih-lebih lagi apabila ia berlaku dalam institusi yang sepatutnya menjadi medan pembinaan akhlak, ihsan dan kasih sayang.
Perbuatan sedemikian, katanya bukan sahaja mencederakan mangsa, malah mencemar nama baik pendidikan Islam dan institusi tahfiz yang selama ini menjadi benteng pembentukan sahsiah ummah.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berharap tindakan undang-undang diambil secara segera dan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah, selaras dengan peruntukan perundangan sedia ada, demi menegakkan keadilan dan mencegah kejadian seumpama ini daripada berulang.
"Walaubagaimanapun, saya menegaskan bahawa insiden terpencil ini tidak mewakili keseluruhan ekosistem pendidikan tahfiz negara.
"Majoriti institusi tahfiz, guru dan para asatizah telah melaksanakan amanah mendidik para pelajar dengan penuh dedikasi, hikmah dan tanggungjawab," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial