AM > BERITA

Shopee, FAMA Rai Kejayaan 20 Usahawan Tani Menerusi Program FAMART+

19/12/2025 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Shopee Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini meraikan kejayaan 20 usahawan tani berprestasi tinggi sempena majlis penutupan program FAMART+, satu inisiatif nasional selama enam bulan bagi memperkasa keupayaan digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) luar bandar dalam sektor agromakanan.

Pengarah Kanan Bahagian Keusahawanan Pemasar FAMA Siti Nurul Haida Ibrahim berkata FAMART+ membuktikan potensi sebenar boleh dicapai apabila usahawan tani diberikan latihan berstruktur serta keyakinan untuk bersaing dalam ekonomi digital.

“Kami menyaksikan sendiri pengeluar luar bandar beralih daripada pengusaha tradisional kepada usahawan digital mampu menembusi pasaran nasional. Transformasi ini bukan sahaja meningkatkan taraf komuniti setempat tetapi turut mengukuhkan masa depan ekosistem agromakanan negara.

“FAMA komited untuk bekerjasama dengan Shopee bagi memperluaskan model ini supaya setiap usahawan tani Malaysia, tanpa mengira latar belakang dapat berkembang dalam pasaran moden berteraskan teknologi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program FAMART+ yang dilancarkan pada Jun 2025 membimbing 100 usahawan tani daripada pelbagai latar belakang termasuk usahawan baharu e-dagang, usahawan orang kurang upaya (OKU), suri rumah, pelajar serta pengeluar tradisional luar bandar melalui pembangunan digital berstruktur.

Peserta menerima latihan praktikal meliputi pemasaran digital, penciptaan kandungan berasaskan kecerdasan buatan (AI), jualan secara siaran langsung, pengurusan operasi, pengoptimuman kedai dalam talian serta penggunaan data bagi menyokong keputusan perniagaan.

Program itu dikendalikan oleh ShopeeXperts dengan sokongan mentor berpengalaman Shopee Bintang serta diperkukuh melalui ShopeeUniversity bagi memastikan bimbingan berterusan sepanjang peralihan peserta ke dunia e-dagang.

Menurut kenyataan itu, FAMART+ adalah kesinambungan kerjasama strategik Shopee dan FAMA yang bermula sejak 2021 menerusi eFAMAPLACE 1.0, yang berjaya membawa lebih 1,500 usahawan tani ke platform e-dagang serta merealisasikan jualan durian digital berskala besar pertama di Malaysia.

Kerjasama itu kemudian diperluaskan melalui eFAMAPLACE 2.0 pada 2022 dengan sokongan kepada lebih 2,800 usahawan yang menyenaraikan 180,000 produk agromakanan, menjana jualan RM6 juta serta mencatat pulangan pelaburan melebihi 13 kali ganda.

 “Pada 2024, Shopee telah memperkenalkan Kempen Tani yang memanfaatkan jualan secara siaran langsung atau livestream, melibatkan ribuan petani dan berjaya menarik lebih 112,000 tontonan di seluruh negara, sekali gus meningkatkan penglibatan digital dan pendedahan produk tempatan,” menurut kenyataan itu. 

Sepanjang pelaksanaan FAMART+, Shopee dan FAMA melaburkan sebanyak RM210,000 dalam bentuk baucar kedai, kredit pengiklanan serta insentif siaran langsung bagi meningkatkan pendedahan dan prestasi komersial peserta, dengan lebih 400 produk agromakanan berjaya disenaraikan di platform Shopee.

Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia Nik Emir Din berkata apa yang dicapai melalui FAMART+ hanyalah permulaan bagi perjalanan lebih besar dan seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, pihaknya ingin memastikan usahawan luar bandar turut terlibat dalam menikmati peluang baharu.

“Oleh itu, Shopee akan terus menyediakan latihan, inovasi dan penambahbaikan platform bagi membantu mereka membina perniagaan yang kukuh serta bersedia menghadapi masa hadapan. Matlamat kami adalah untuk mewujudkan ekosistem digital, iaitu setiap pengeluar tempatan boleh menjangkau pelanggan di seluruh negara dan meningkatkan daya saing melalui teknologi digital,” katanya. 

Beliau berkata kerjasama erat dengan FAMA yang juga kerjasama awam-swasta sepanjang pelaksanaan program itu amat dihargai, sekali gus membuktikan usaha bersama mampu membawa perubahan bermakna kepada komuniti luar bandar selain mewujudkan lebih banyak peluang digital untuk usahawan tani di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, menerusi FAMART+, sebanyak 20 usahawan tani diiktiraf dalam enam kategori anugerah termasuk Bintang Baharu Agri Shopee, Ikon Agri Shopee, Inspirasi Agri Shopee, Ikon Agri (Makanan) Shopee, Ikon Agri (Bukan Makanan) Shopee dan Usahawan-Usahawan Terbaik FAMART+.

Kenyataan itu juga memaklumkan sektor agromakanan Malaysia menyumbang RM45.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2025, mencerminkan peranannya dalam keselamatan makanan, peluang pekerjaan dan kestabilan ekonomi negara.

Shopee dan FAMA menegaskan komitmen berterusan untuk memperluas keterangkuman akses digital komuniti luar bandar, dengan FAMART+ kini menjadi model nasional yang boleh diguna pakai oleh kementerian, agensi negeri serta rakan industri bagi memperkasa usahawan tani dan memacu kemajuan ekonomi digital negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan