AM > BERITA

Pasangan Suami Isteri Harap Anak Bongsu Sembuh Dari Ketumbuhan Bahagian Mata

20/12/2025 01:03 PM

IPOH, 20 Dis (Bernama) -- Tiada apa yang mampu dilakukan oleh pasangan suami isteri selain berharap anak bongsu mereka yang menghidap ketumbuhan pada bahagian belakang mata iaitu Germ Cell Tumor mampu sembuh sepenuhnya dan dapat menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Anis Azwanie Azmi, 29, yang merupakan suri rumah sepenuh masa berkata Firas Affan Mohd Fauzi yang berusia setahun dua bulan, dikesan menghidap penyakit tersebut pada Oktober tahun ini.

“Pada mulanya kami hanya membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Menglembu selepas Firas Affan sering berada dalam keadaan lesu, selain terdapat bengkak pada bahagian muka dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk pemeriksaan selanjutnya.

“Apabila doktor mengesahkan Firas Affan mempunyai ketumbuhan pada bahagian muka, rasa sedih dan berat hendak terima, namun kami suami isteri reda dengan ujian dari Allah,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Bandar Lahat Baru di sini hari ini.

Anis Azwanie berkata sehingga kini, anaknya itu telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak dua kali dan akan menjalani beberapa lagi susulan rawatan kemoterapi selepas ini.

“Bagaimanapun selepas menjalani rawatan kemoterapi, ada perubahan pada bahagian muka Firas Affan apabila tidak lagi terlalu bengkak, namun tidak mempunyai selera makan selain kerap menangis pada waktu malam.

Sementara itu, Mohd Fauzi Saad, 43, yang bekerja sebagai pemandu lori di Ipoh tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan perlu menanggung tiga lagi orang anaknya yang masih bersekolah rendah.

“Saya memerlukan kira-kira RM1,000 sebulan bagi menampung kos rawatan Firas Affan untuk menjalani rawatan susulan serta kos pengangkutan, kerana kerap berulang alik ke hospital,” katanya.

Mohd Fauzi berkata penyakit yang menimpa anaknya itu menyebabkan beliau kerap mengambil cuti, kerana mahu membawa Firas Affan ke hospital dua atau tiga kali dalam tempoh seminggu.

“Pendapatan saya hanya RM2,000 sebulan, namun merosot kepada kira-kira RM1,000 disebabkan kerap mengambil cuti kecemasan.

“Firas juga tidak mahu minum susu tepung formula yang biasa, mahu minum susu kotak sahaja dan hanya makan makanan lembut seperti bubur nasi,” katanya.

Mohd Fauzi berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang bentuk bantuan daripada agensi kebajikan, namun menerima sumbangan daripada saudara-mara serta jiran yang membuat kutipan derma bagi meringankan beban yang dihadapi mereka sekeluarga.

Sementara itu, orang ramai yang ingin membantu Firas Affan atau berhasrat memberi sokongan kepada keluarganya, boleh menghubungi Mohd Fauzi menerusi talian 011-11983431.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan