AM > BERITA

Sokongan KRT Progresif Lonjak Pemasaran Sambal Hitam Suri Rumah Di Maran

21/12/2025 12:00 PM

MARAN, 21 Dis (Bernama) -- Sokongan Program Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif membantu sekumpulan suri rumah dan ibu tunggal di sini memperkasakan perusahaan sambal hitam sehingga produk berkenaan berjaya dipasarkan secara meluas ke seluruh negara.

Bermula secara kecil-kecilan, Karimah Ali, 65, yang mesra digelar Kak Mey berkata masakan tradisi Pahang itu dijual dalam kalangan orang terdekat dan program setempat, sebelum menerima peruntukan lebih RM70,000 daripada program berkenaan tahun lepas. 

Beliau berkata kini produk yang diusahakan penduduk KRT Maran 2 (Keramat) di sini dipasarkan secara meluas termasuk secara dalam talian selain turut mendapat sambutan memberangsangkan ketika menyertai program jualan serta pameran. 

“Jika dahulu kami hanya mampu hasilkan tidak sampai 400 pek sebulan tetapi kini jumlahnya hampir sekali ganda terutama pada bulan puasa, hari raya dan sewaktu menyertai program jualan di luar Pahang,” kata suri rumah itu kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata tahap pengeluaran turut dibantu dengan suntikan Program KRT Progresif yang menampung kos pembelian peralatan memasak industri antaranya mesin pemotong, pengisar dan kuali pengacau. 

Karimah berkata bagi meningkatkan kualiti dan hasil jualan, mereka juga menyertai pelbagai kursus dan latihan antaranya kewangan, pembungkusan serta pemasaran termasuk kaedah penjualan menerusi aplikasi TikTok dan Facebook. 

Menurut beliau, projek berkenaan turut membuka peluang menjana pendapatan sehingga RM1,000 sebulan sekali gus membantu menambah pendapatan isi rumah.   

Berkongsi mengenai cabaran dalam menghasilkan produk itu, Karimah berkata proses penyediaan sambal hitam agak rumit dan mengambil masa yang lama, namun bagi mereka alah bisa tegal biasa. 

“Produk berkenaan menggunakan belimbing buluh yang perlu direbus dengan kaedah betul dan biasanya buah berkenaan kami dapat dari kawasan sekeliling serta upah turut diberikan kepada mereka yang merebus belimbing itu.

“Bahan lain ialah ikan bilis, bawang merah, cili padi, garam dan minyak masak dicampur bersama belimbing buluh serta dimasak dengan api sederhana sehingga empat jam.

“Jika dimasak dengan betul, produk ini biasanya tidak mudah rosak dan tahan sehingga enam bulan,” katanya yang turut memaklumkan sambal hitam sesuai dimakan bersama nasi, nasi impit dan roti.

Beliau berkata produk berkenaan dijual pada harga RM6 dan RM12 masing-masing bagi pek 50 dan 100 gram dengan pada masa depan mereka merancang untuk mendapatkan pensijilan halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI). 

“Menjadi hasrat kami untuk turut membekalkan produk ini untuk jemaah haji akan datang dan lebih ramai orang mengenali jenama Sambal Hitam Keramat,” katanya.  

KRT Progresif bermula pada 2024 sebagai inisiatif Kementerian Perpaduan Negara bagi memperluas peranan tradisional KRT daripada sekadar keselamatan kepada platform pembangunan komuniti yang lebih progresif, fokus kepada integrasi, aktiviti ekonomi dan perpaduan nasional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan