AM > BERITA

JMG Peruntuk RM1 Juta Laksana Projek Kampung Angkat MADANI Di Merlimau

21/12/2025 01:19 PM

JASIN, 21 Dis (Bernama) -- Kampung Kilang Berapi Utara di sini menerima suntikan pembangunan berjumlah RM1 juta menerusi pelaksanaan Projek Kampung Angkat MADANI oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Ketua Pengarah JMG Datuk Zamri Ramli berkata projek itu merangkumi enam skop utama melibatkan pembangunan infrastruktur, kemudahan asas, pemerkasaan pendidikan dan pengukuhan aspek sosial serta keagamaan yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.

“Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara inklusif dengan penglibatan aktif komuniti, selain memperkukuh kerjasama antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan masyarakat setempat.

"Menerusi pelaksanaan program itu juga ia dilihat dapat memperkasakan kesejahteraan komuniti luar bandar secara mampan dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan penyerahan simbolik projek kepada Penghulu Tertinggi Merlimau Jezlee Pit yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh.

Zamri berkata antara komponen utama projek berkenaan ialah menaik taraf infrastruktur kampung termasuk jalan dan longkang serta pemasangan lampu solar yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 1,700 penduduk kampung dan kawasan perumahan berhampiran.

Beliau berkata projek itu juga melibatkan pelajar Politeknik Merlimau yang diberi peluang menjalani latihan praktikal sekali gus membantu meningkatkan kemahiran dan pengalaman mereka.

"Selain itu, kemudahan asas di Masjid Asy-Syuja’ah, Merlimau turut dinaik taraf meliputi pemasangan kipas dan lampu, penaiktarafan bilik mesyuarat serta bilik pengurusan jenazah, selain pemasangan sistem telesidang dan audio bagi menyokong pelaksanaan mesyuarat, kuliah agama dan pembelajaran secara maya.

"Projek Kampung Angkat MADANI ini juga memberi manfaat kepada sektor pendidikan apabila kira-kira 500 pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) Merlimau Utara dan 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Rahman Ya‘kub menerima kemudahan kipas serta pemasangan pendingin hawa. 

Zamri berkata sempena pelaksanaan program Kampung Angkat MADANI itu juga, bangunan Madrasah Al-Amin turut dibaik pulih menggantikan struktur lama yang sering terjejas akibat banjir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan