AM > BERITA

PJRM 'Back To School' Realisasi Impian Zaman Kanak-kanak, Ringankan Kos Sara Hidup Rakyat

21/12/2025 05:22 PM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

KULAI, 21 Dis (Bernama) -- Impian untuk membeli beg sekolah berkualiti sejak zaman kanak-kanak akhirnya menjadi kenyataan menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Back to School hari ini.

Nur Dahlia Safwan, 30, yang bekerja sebagai kerani berkata meskipun beg sekolah yang dibelinya itu untuk kegunaan anak saudaranya, beliau sangat bersyukur membeli kerana beg berkualiti seperti itu suatu ketika dahulu di luar kemampuan keluarganya.

“Dulu, masa saya kecil, nak beli beg sekolah yang betul-betul berkualiti pun susah sebab mahal dan keluarga tak mampu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada PJRM Back to School di Tapak IOI Mall di sini.

Beliau berkata kenangan hidup dalam serba kekurangan itu menyebabkan peluang hari ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan anak buahnya yang bakal melangkah ke tahun satu tidak lama lagi dapat memiliki beg sekolah itu.

“Saya datang ke sini sebab ternampak hantaran di media sosial oleh (pasar raya) TenTen mengenai jualan diskaun PJRM, asalnya cuma nak tengok. Bila teringatkan anak buah saya yang bakal masuk tahun satu, saya terus beli kelengkapan sekolah yang dulu saya teringin tapi tak mampu,” katanya.

Nur Dahlia berkata inisiatif Kerajaan MADANI di bawah program Payung Rahmah itu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dengan menyediakan barangan keperluan persekolahan pada harga berpatutan tanpa menjejaskan kualiti.

Sementara itu, pesara tentera laut Zainal Abd Rahman, 76, berkata pelaksanaan inisiatif seperti PJRM dan MySARA itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata pembelian dengan diskaun sehingga 30 peratus yang ditawarkan bukan sahaja memberi penjimatan ketara, malah membantu golongan pesara mengurus perbelanjaan harian dengan lebih terancang.

Dalam pada itu, pekerja swasta Nathan Silvaraj, 38, berkata pelaksanaan PJRM turut memberi keyakinan kepada rakyat terhadap kestabilan bekalan barangan keperluan di pasaran.

Beliau berkata langkah kerajaan mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) lebih awal turut memberi jaminan terhadap kelangsungan bekalan dan kestabilan harga menjelang musim perayaan khususnya Hari Krismas yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Saya sudah tidak bimbang dapatkan barang-barang basah pada saat akhir kerana tahu kerajaan akan pastikan bekalan mencukupi untuk rakyat dengan harga berpatutan. Sekarang jarang kita dengar isu barang keperluan tak cukup, bagi saya ini satu perkembangan yang positif,” katanya.

Semalam, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor Lilis Saslinda Pornomo memaklumkan sebanyak 1,783 program PJRM telah dilaksanakan di seluruh Johor dari Januari hingga Disember tahun ini.

Beliau berkata keseluruhan program itu merekodkan nilai jualan RM65.7 juta dan memberi manfaat secara langsung kepada lebih 1.96 juta isi rumah di negeri berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan