Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 22 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan pejabat baharu Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya pada Januari 2026.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata penubuhan pejabat baharu itu merupakan antara langkah kerajaan bagi meningkatkan keupayaan menangani kes penipuan dalam talian dan memulangkan wang mangsa sekiranya laporan dibuat dengan segera.
"NSRC yang sebelum ini beroperasi di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia telah dipindahkan ke Menara 2 MCMC sekali gus membolehkan operasi lebih cekap dan bersepadu," katanya kepada Bernama.
Temu bual bersama Bernama itu diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Duraj Raj, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Ekonomi M. Saraswathi.
Fahmi juga berkata pemindahan pusat operasi itu mampu meningkatkan keupayaan NSRC untuk bertindak pantas memandangkan ia kini beroperasi 24 jam sehari dan jumlah petugas lebih ramai.
Ketika mula dilancarkan pada 12 Okt 2022, NSRC yang boleh dihubungi melalui talian 997 menerima sekitar 300 hingga 400 panggilan sehari dan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.
Fahmi berkata berkata sejak dipindahkan ke Menara 2 MCMC pada 17 Nov lepas, NSRC beroperasi 24 jam sehari dan menerima antara 500 hingga 700 panggilan sehari.
Beliau berkata peningkatan itu mencerminkan peranan NSRC sebagai saluran utama rakyat untuk mendapatkan bantuan segera bagi mengelakkan kerugian kewangan yang lebih besar.
Fahmi turut menasihati mangsa supaya menghubungi NSRC dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas insiden bagi meningkatkan peluang untuk menyelamatkan wang yang dipindahkan, dan sebarang kelewatan mungkin menyebabkan kesukaran.
Beliau berkata NSRC, yang berada di bawah seliaan Kementerian Dalam Negeri, akan terus diperkasa bagi memastikan tindakan segera dapat diambil khususnya dalam membekukan akaun dan menjejak aliran wang mangsa penipuan dalam talian atau scam.
Fahmi berkata keupayaan NSRC bertindak pantas termasuk menyelamatkan wang mangsa diperkukuh melalui kerjasama bersepadu antara Polis Diraja Malaysia dan bank komersial yang kini ditempatkan bersama di pusat operasi baharu itu.
Beliau berkata analisis awal mendapati kegiatan penipuan dalam talian berlaku mengikut pola masa tertentu dan kelewatan membuat laporan merupakan faktor utama yang menyukarkan usaha menyelamatkan wang mangsa.
"Berdasarkan makluman dan data yang telah dikumpulkan, mungkin kita boleh ambil beberapa tindakan termasuk dengan kerjasama bank-bank komersial kerana kita dapati tindakan oleh pihak bank sebelum ini ada kesan yang positif tetapi mungkin ada beberapa cadangan tambahan yang ingin kita panjangkan," katanya.
Fahmi juga berkata kerajaan tidak pernah membezakan mangsa penipuan dalam talian iaitu sama ada mereka terperdaya dengan tawaran pelaburan yang menarik atau ditipu melalui kaedah lain kerana semua bentuk penipuan dianggap sebagai jenayah di sisi undang-undang.
Beliau berkata unsur utama yang mentakrifkan penipuan adalah perbuatan itu sendiri tanpa mengira sama ada mangsa percaya mereka boleh mendapat pulangan kewangan lebih baik terutama melalui pautan pelaburan yang disebarkan dalam talian.
Kerajaan, katanya, telah meminda beberapa undang-undang bagi memastikan takrif penipuan dalam talian diperjelas, selain menjamin penguatkuasaan dilaksanakan tanpa mengira motif atau persepsi mangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial