AM > BERITA

Hannah Komited Tadbir WP Secara Bersih, Telus Dan Fokus Perkhidmatan Asas

22/12/2025 10:42 AM

PUTRAJAYA, 22 Dis (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menzahirkan komitmen untuk mentadbir Wilayah Persekutuan secara bersih dari segi persekitaran dan tadbir urus dengan memberi penekanan kepada perkhidmatan asas serta keperluan sebenar rakyat.

Beliau berkata agenda awal pentadbirannya adalah memastikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan menjadi wilayah yang bersih bukan sahaja dari segi persekitaran  tetapi juga integriti tadbir urus.

"Itu keutamaan saya," katanya kepada media selepas melapor diri secara rasmi bersama timbalannya, Datuk Lo Su Fui, di sini hari ini.

Hannah berkata beliau dan timbalannya mempunyai latar belakang dalam bidang undang-undang yang merupakan satu kelebihan untuk memahami tadbir urus dan isu semasa berkaitan perundangan di Wilayah Persekutuan.

"Pelantikan strategik Timbalan Menteri dari Sabah juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Labuan menerima perhatian dan sokongan yang lebih tinggi," katanya.

Mengulas kebimbangan segelintir pihak berhubung isu perkauman susulan pelantikan beliau, Hannah berkata latar belakang kaum atau warna kulit tidak pernah menjadi faktor penentu dalam pelaksanaan tugasnya sebagai pemimpin.

"Sejak 2008, sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, Speaker, Ahli Parlimen Segambut, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Belia dan Sukan, tumpuan saya sentiasa kekal kepada dasar dan pelaksanaan serta hasil kerja, dan bukan terhadap warna kulit saya.

"Akal dan hati saya sentiasa komited untuk berkhidmat kepada rakyat, dan saya bersedia untuk bekerja dengan segera serta membiarkan rekod pencapaian menjadi bukti," katanya.

Berbekalkan pengalaman itu, Hannah berkata beliau akan memberi keutamaan kepada semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan selain menjalinkan kerjasama erat dengan mereka.

"Sebagai wakil rakyat, mereka memahami denyut nadi kawasan masing-masing, dan itu adalah suara demokrasi yang wajar didengari serta suara rakyat diwakilkan oleh Ahli-Ahli Parlimen kita," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan