PASIR MAS, 22 Dis (Bernama) -- Siapa sangka permainan lastik yang menjadi antara aktiviti pada zaman kanak-kanak, kini menjadi platform bagi mengeratkan perpaduan masyarakat tanpa mengira usia di Kampung Lanchang, Rantau Panjang di sini.
Berbekalkan lastik buatan sendiri bersama bebola lumpur kecil atau guli sebagai peluru, penduduk kampung akan berkumpul setiap petang untuk menyertai pertandingan melastik dengan sebiji telur ayam sebagai hadiah sekiranya berjaya menjatuhkan kepingan besi yang digantung.
Penduduk, Haszalie Ahmad, 31, berkata idea penganjuran pertandingan secara kecil-kecilan itu tercetus secara spontan apabila semakin ramai penduduk menunjukkan minat terhadap permainan berkenaan.
"Pada awalnya sekadar bermain secara suka-suka untuk mengisi masa lapang. Lama-kelamaan, ia menjadi aktiviti yang dinantikan setiap petang," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata pertandingan melastik kepingan besi dari jarak 10 meter itu bukan sahaja menguji kemahiran, malah mencetuskan suasana mesra apabila penduduk kampung saling memberi sokongan, sambil bergurau senda.
Sementara itu, Azmi Hussin, 45, berkata permainan ini juga berjaya menarik penyertaan penduduk dari kampung sekitar seperti Gual Tok Deh dan Tersang, sekali gus merancakkan hubungan silaturahim antara komuniti.
"Walaupun tiada peraturan ketat dan hadiahnya sederhana, permainan ini menyeronokkan dan dapat menyatukan penduduk. Ada yang datang sekadar menonton dan ada yang menyertai pertandingan ini. Semuanya meriah,” katanya.
Beliau berkata pertandingan melastik di Kampung Lachang bukan sekadar hiburan, malah membuktikan aktiviti ringkas berdasarkan kehidupan setempat mampu menjadi medium berkesan dalam memupuk perpaduan, semangat kekitaan dan keharmonian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial