AM > BERITA

MPHTJ Perhebat Keceriaan Di Pintu Masuk Melaka Sempena TMM2.0

22/12/2025 06:40 PM

MELAKA, 22 Dis (Bernama) -- Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan memperhebat aspek keceriaan, terutama di  Lebuh Ayer Keroh yang menjadi antara pintu masuk utama ke negeri itu sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0).

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata landskap dan lampu jalan di sepanjang jalan berkenaan akan ditambah baik pada tahun depan bagi menggamit kehadiran lebih ramai pengunjung dan pelancong.

“Kita akan menyahut saranan kerajaan negeri untuk menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong terutama ke lokasi menarik yang terdapat di bawah pentadbiran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Anugerah Apresiasi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya 2025 yang turut dihadiri Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Biro Bernama Melaka menerima Anugerah Media Jalinan Terbaik 2025 yang disampaikan Zulkiflee kepada Ketua Biro Mohd Fakri Awang Lah.

Dalam pada itu, Sapiah berkata pihaknya menyasarkan untuk meraih Anugerah Bandar Paling Mampan sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Kebangsaan pada tahun depan bagi menaikkan lagi imej pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Beliau berkata anugerah berkenaan merupakan anugerah paling berprestij di peringkat PBT kerana ia merangkumi semua kategori termasuk Bandar Paling Bahagia.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan