JOHOR BAHRU, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM9.8 juta sempena penganjuran Festival Kraf Johor 2025 (FKJ 2025) pada 18 hingga 29 Dis di Padang Akasia, Angsana Mall di sini.
Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata pihaknya optimis sasaran itu dapat dicapai berikutan produk kraf yang ditawarkan cukup menarik dan berkualiti pada harga berpatutan.
Beliau berkata setakat empat hari penganjuran, nilai jualan kraf telah mencapai RM3.6 juta yang disumbangkan oleh lima bidang utama meliputi tekstil, hasil rimba, hasil logam, hasil tanah dan aneka kraf.
“Festival selama 12 hari itu melibatkan 251 penyertaan usahawan kraf serta jualan makanan warisan dan disokong lima agensi iaitu Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Tourism Malaysia Wilayah Selatan, Tourism Johor, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Galeri Aura Islam.
“Festival itu juga menjadi platform pertemuan usahawan kraf dengan pembeli dari dalam negara seperti syarikat pengeksport barangan kraf, agensi kerajaan, syarikat perhotelan dan pusat beli-belah.
"Justeru, kita yakin sasaran RM9.8 juta ini dapat dicapai selain menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung sepanjang penganjuran festival,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Jelajah Mesra Festival Kraf Johor di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Kraftangan Malaysia Mohd Al-Hafizi Ab Bakar dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk Ainu Sham Ramli.
Shaharuddin berkata FKJ 2025 mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung termasuk padanan perniagaan, jualan kraf oleh usahawan dan komuniti kraf, demonstrasi kraf adiguru serta pameran Jom Masuk IKN.
“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan kesenian, program pengembangan ilmu serta aktiviti galakan pengunjung seperti permainan rakyat, iaitu gasing petik, ‘chapteh’, dam, congkak, kercang dan batu seremban, selain pelbagai pertandingan termasuk Fashionista Batik Malaysia, Kompang Tradisi serta nyanyian.
“Selain itu, pengunjung dapat menyaksikan demonstrasi kraf seperti pembuatan wau merak Johor, gendang kempling, jong, gasing dan anyaman buluh oleh usahawan kraf. Aktiviti ini memberi pendedahan serta peluang kepada masyarakat untuk melihat teknik pembuatan kraf dengan lebih terperinci,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial