AM > BERITA

KPDN Kelantan Rampas Barangan Hampir RM4.7 Juta Sepanjang Tahun

23/12/2025 06:51 PM

KOTA BHARU, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merekodkan nilai rampasan hampir RM4.7 juta menerusi penguatkuasaan di seluruh negeri sepanjang tahun ini, kata Pengarahnya Azman Ismail. 

Beliau berkata sebanyak 98,842 pemeriksaan dilakukan dengan 1,355 kes pelbagai kesalahan direkodkan dan 220 tangkapan selain 37 kes telah dituduh di mahkamah melibatkan denda berjumlah RM216,000 selain kompaun RM800,050 dikenakan.

“Bagi kes penyelewengan bahan api, sebanyak 89,280.61 liter petrol bernilai RM193,544.83 dirampas selain 35,598 liter diesel bernilai RM93,679.29,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2025 di sebuah pasar raya di sini hari ini. 

Azman berkata KPDN Kelantan turut menyita barangan kawalan bersubsidi, iaitu minyak masak 42,562 kilogram (kg) bernilai RM106,275.40, gula (6,656 kg, RM19,127.97) dan tepung gandum (3,974.20 kg, nilai RM12,187.52) serta gas petroleum cecair (LPG) (2,332 kg, RM4,569).

Beliau mengingatkan peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang manakala orang awam digalakkan menyalurkan maklumat berkaitan salah laku peniaga kepada KPDN.

Sementara itu, sempena sambutan Krismas, Azman berkata 32 pasar raya di seluruh negeri menyertai Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) selain 43 pasar raya menyertai PJRM Kembali Ke Sekolah sebagai inisiatif membantu ibu bapa membuat persiapan persekolahan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan