ALOR SETAR, 24 Dis (Bernama) -- Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang disalurkan Kerajaan MADANI bukan sekadar angka dalam akaun, tetapi inisiatif yang meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya dalam memenuhi keperluan dapur harian.
Ibu tunggal Rashdah Ramli, 50, berkata bantuan RM100 setiap bulan sejak April lepas amat bermakna kerana dia tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada anak untuk menyara kehidupan.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya boleh beli beras yang paling penting, minyak dan barangan dapur lain. Kalau dapat ditambah lagi memang sangat membantu. Beban perbelanjaan juga tidak terlalu berat,” katanya kepada Bernama di sini.
Wanita itu berkata wang bantuan itu membolehkannya mengatur perbelanjaan sedia ada untuk keperluan lain, sekali gus menguruskan hidup dengan lebih teratur.
Senada ialah peniaga kebab Khairul Anwar Mohamad dari Bukit Jambul, Pendang yang menyifatkan pelbagai inisiatif bantuan diperkenalkan Kerajaan MADANI termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) membuktikan kesungguhan kerajaan menjaga kebajikan rakyat.
Khairul Anwar, 30, berkata bagi golongan berpendapatan rendah yang “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”, bantuan berkenaan amat bernilai dalam memastikan keperluan keluarga terus terjamin.
“RM100 itu bagi kami sangat membantu, terutamanya dalam situasi sekarang. Harapan kami supaya bantuan ini diteruskan,” katanya.
Pekerja swasta Mohammad Ramli, 37, berkata apa sahaja program yang dapat mengurangkan beban rakyat wajar diteruskan lebih-lebih lagi ketika berdepan cabaran ekonomi semasa.
“Alhamdulillah, bantuan ini memang meringankan beban. Keperluan asas seperti beras dan minyak dapat ditampung, malah lebihan boleh digunakan untuk beli lampin dan barangan lain. Terima kasih atas bantuan ini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sebanyak 5.6 juta orang menerima SARA bulanan dengan jumlah kelayakan keseluruhan bagi 2025 mencecah RM5 bilion.
Amir Hamzah berkata sehingga 17 Dis, hampir 5.6 juta penerima SARA termasuk rayuan baharu yang diluluskan telah menggunakan MyKad bagi pembelian barangan asas di premis berdaftar yang mencerminkan kadar penggunaan 99 peratus dan perbelanjaan berjumlah RM4.59 bilion.
Sementara itu, penebusan bagi Penghargaan SARA sebanyak RM100 secara sekali bayar kepada semua warganegara berumur 18 tahun ke atas yang bermula Ogos lepas akan berakhir pada 31 Dis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial