AM > BERITA

Daging Kerbau Salai, Kelainan Produk Dari Dungun

24/12/2025 01:57 PM

DUNGUN, 25 Dis (Bernama) -- Jika Negeri Sembilan terkenal dengan produk salai seperti daging lembu, ikan keli dan itik, di Dungun pula seorang warga emas menampilkan kelainan mengusahakan daging kerbau salai.

Tuan Zahari Tuan Lasan, 63, yang berasal dari Kampung Belimbing di Hulu Dungun dekat sini berkata dia mula mengusahakan perniagaan daging kerbau salai kira-kira dua tahun lepas,  setelah tercetus idea untuk menawarkan kelainan dalam hidangan berasaskan produk salai. 

Menurutnya, produk jualannya kini semakin mendapat tempat terutama dalam kalangan penggemar menu tradisi Melayu seperti masak lemak cili api, rendang, masak kicap dan sambal tumis.

Lebih menarik, Tuan Zahari mengekalkan kaedah tradisional semasa menyalai daging kerbau demi memberikan rasa ‘asap’ yang asli, di samping menitikberatkan ketelitian bagi memastikan kualiti daging kerbau.

"Saya menggunakan cara tradisonal dalam proses penyediaannya seperti menggunakan kayu api pokok leban manakala para tempat menyalai daging pula dibina daripada buluh.

"Bangsal yang didirikan pula terbuka supaya asap dapat keluar bagi memastikan proses pengasapan daging berjalan dengan baik dan mengelakkan pengumpulan asap yang berlebihan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Belimbing di sini.

Tuan Zahari berkata dia akan memilih dan membeli daging kerbau sejuk beku yang segar dan berkualiti, sebelum dibersihkan dan diperap dengan garam bagi menambah perisa.

Setelah itu katanya daging kerbau dijemur untuk mengurangkan kandungan air dan proses menyalai dilakukan di atas para selama lapan jam.

Katanya, daging kerbau yang siap disalai di rumah sebelum dihantar ke kilang pemprosesan miliknya di Bandar Al-Muktafi Billah Shah untuk dihiris menggunakan mesin bagi memastikan ketebalan sekata dan pembungkusan untuk pasaran.

"Daging kerbau salai yang telah siap dihiris, diisi dalam peket seberat 200 gram (g) setiap satu.

"Daging kerbau salai bukan sahaja tahan lebih lama berbanding daging kerbau segar, malah aroma asap dan tekstur yang pejal memberi kepuasan tersendiri kepada penggemar masakan tradisional," katanya.

Tuan Zahari berkata sebanyak 1,000 kilogram (kg) daging kerbau salai diproses setiap minggu bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Dalam pada itu anak Tuan Zahari,  Nor Fadilah Amalina, 32, berkata dia membantu bapanya memasarkan produk tersebut menerusi platform digital termasuk aplikasi TikTok dan Shopee bagi meluaskan pasaran serta meningkatkan capaian pelanggan di seluruh negara.

"Saya menjual daging kerbau salai itu di platform digital dengan harga RM20 sepeket, dan jualan mencecah 1,000 peket setiap minggu,” katanya. 

Nor Fadilah Amalina berkata dia menyasarkan peningkatan jualan lebih tinggi termasuk meluaskan pasaran produk berkenaan ke luar negara tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan